Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’akub Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’akub

  Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya'akub dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Kampung Jepak, Bintulu Sarawak. Beliau merupakan anak kepada pasangan Wan Ya'akub bin Wan Yusuf dan Siti Hajar bt. Haji Mohd Tahir. Tun Abdul Rahman mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Anchi dan Sekolah St. Joseph, Miri Sarawak sebelum meneruskan pembelajaran Sekolah Menengah di Madrasah Melayu, Kuching dan kemudiannya Sekolah St. Joseph, Kuching hingga tingkatan lima.  Pada tahun 1954 hingga 1959, Tun menyambung pengajian ke Southampton University, England dan memperolehi Ijazah B.A (Law) (Hons).

  Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya'kub memulakan kerjayanya pada tahun 1948 sebagai Pegawai Percubaan (kadet) Bumiputera Sarawak dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Majistret. Dari tahun 1959 hingga 1963, Tun dilantik sebagai Pegawai Perundangan Sarawak sebelum meletak jawatan dan berkecimpung secara aktif dalam politik.  Pada tahun 1963, Tun diberi kepercayaan dengan dilantik sebagai  Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan kemudiannya sebagai Menteri Muda Kehakiman pada tahun 1964. Pada tahun 1965, Tun memegang portfolio  sebagai Menteri penuh Tanah dan Galian hingga tahun 1969 dan seterusnya sebagai Menteri Pelajaran Persekutuan dari tahun 1969 hingga 1970.

  Pada tahun 1969, buat pertama kalinya Sarawak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum kebangsaan. Pada pilihan raya ini Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman dicalonkan oleh partinya, Parti Bumiputera, yang dibentuk melalui pencantuman Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA) dan Parti Negara Sarawak (PANAS) untuk bertanding dalam Majlis Negeri dan kawasan Parlimen. Tun memenangi kerusi parlimen Payang dan kerusi majlis negeri Kuala Rajang. Pada 7 Julai 1970, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak dan memegang jawatan tersebut  selama 11 tahun sehingga tahun 1981. Tun kemudiannya dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, pada Ogos 1980.  Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih oleh Tunku Abdul Rahman Putra dalam usaha menyakinkan rakyat Sarawak, sekaligus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia. Beliau antara tokoh politik yang berjasa dan memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Malaysia.

  Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman juga merupakan seorang yang bergiat aktif dalam kegiatan keagamaan, antara penglibatan Tun ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun (1968-1971). Yang-Dipertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dan tahun 1969 hingga 1986, Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI (Muslim World League, Makkah) dan anggota Muslim World Congress, Karachi Pakistan.  Tokoh yang banyak berjasa kepada negara ini telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat dan darjah kebesaran antaranya, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S),  Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) dan Darjah Utama Bintang Paduka Seri Sarawak (D.P.S.S).

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Penubuhan Malaysia Dari Sudut Pandang Sarawak
16 Oktober 2008
Pustaka Negeri Sarawak