Datuk Haji Borhan Mohd. Yaman (BURMY) Datuk Haji Borhan Mohd. Yaman (BURMY)

       

  Sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO negeri Melaka, BURMY tidak duduk diam bagi membincangkan masalah kepincangan masyarakat ketika itu. Di antaranya beliau mengkritik sikap setengah-setengah wakil rakyat yang tidak menjalankan tugasnya kepada rakyat di kawasannya, memohon agar memberi kelonggaran terhadap kiraan cukai pendapatan iaitu tidak dihadkan kepada lima orang sahaja, tidak puas hati dengan pengaruh orang sahaja, tidak puas hati dengan pengaruh kebudayaan asing yang berleluasa di Malaysia dan sebagainya. Di dalam Perhimpunan Agung UMNO Malaya pada 26 Ogos 1963, BURMY menggesa pihak Radio Malaya mendendangkan lagu-lagu yang bersemangat yang menggambarkan segala keindahan dan bukan lagu-lagu “Twist” dan “ Rock-n-Roll”. (Utusan Melayu, Keluaran 27 Ogos 1963).

  Di dalam Perhimpunan Agung UMNO Malaya pada 1962, BURMY telah mengemukakan pendapat tidak puas hatinya terhadap persembahan tarian Malaya di dalam ASA. Persembahan tarian-tarian Malaya itu bukan sahaja tidak memuaskan, tetapi menampakkan seolah-olah tidak mempunyai nilai-nilai kebudayaan yang dapat dibanggakan. Sebagai seorang ahli UMNO yang aktif, BURMY telah memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan cita-cita politiknya dengan menyokong ‘Penyata Pelajaran Rahman Talib’, mengambil berat tentang perkembangan agama Islam di Melaka, mengambil berat tentang kebudayaan kebangsaan dan bahasa. Berhubung tentang kebudayaan, BURMY telah menyeru pemimpin-pemimpin Politik Melayu supaya memainkan peranan penting bagi menegakkan Kebudayaan Bangsa Melayu di samping perjuangan politik. Bagi beliau, kebudayaan memainkan peranan penting bagi menentukan nilai bangsa di masa datang (Utusan Melayu, keluaran 11 Oktober 1960).

  Dalam lapangan penulisan puisi, sajak-sajak yang bertemakan kebangsaan telah mendapat perhatian dari penulis-penulis muda dari tahun 1950 hingga 1957. Dari 1,140 sajak-sajak yang dimuatkan dalam Majalah Guru, Mastika, Hiburan, Utusan Zaman, Mingguan Pedoman dan Fikiran Rakyat terdapat 398 sajak yang bertemakan kebangsaan. Utusan Zaman merupakan akhbar yang banyak sekali menyiarkan sajak-sajak yang bertemakan kebangsaan iaitu 195 sajak, kemudiannya diikuti pula Majalah Guru, sebanyak 56 sajak. Empat dari sajak tersebut ditulis oleh BURMY iaitu “Rela Membela (1951), ”Pemuda Seruan”(1952), “Penganjur” (1954) dan “Lambang Kota Melaka (1954).

  Dalam lapangan puisi, BURMY telah menulis sebanyak 7 buah puisi. Kesemua puisinya itu dimuatkan ke dalam Majalah Guru, kecuali puisi “Manifesto Palsu” dan puisi “Lambang Kota Melaka” (diterbitkan juga) dimuatkan dalam Akhbar Merdeka. Lima dari puisi BURMY bertemakan kebangsaan kecuali puisinya yang bertajuk ‘Titisan Air Mata” (Majalah Guru, keluaran September 1953) dan “Tunaikan Kewajipan” (Majalah Guru, keluaran Disember 1953).

  BURMY mula menulis puisi pada tahun 1951 dengan puisinya yang bertajuk “Rela Membela” yang terakhir dimuatkan. Bagi beliau, seseorang pejuang itu mestilah mempunyai semangat perjuangan yang tidak pernah mengaku kalah atau mudah kecewa. Di samping itu, setiap pejuang hendaklah meneruskan perjuangannya dengan serius. Bagi BURMY, apabila seseorang itu diberi tugas untuk membela kepentingan bangsa dan negara, maka ia hendaklah terus bergerak dan menjalankan kewajipan dengan tabah hati. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kekuatan untuk bertanding maka ia janganlah mudah kecewa sebaliknya ia haruslah bersabar dan bertahan. Bagi BURMY, pengorbanan untuk sesuatu perjuangan, lebih-lebih lagi perjuangan untuk mencapai kemerdekaan di Tanah Melayu, adalah satu perjuangan yang suci. Di dalam puisi “Rela Membela”, kita akan melihat pendirian dan semangat BURMY berhubung dengan perjuangannya untuk membela tanah air daripada dijajah. Pendek kata, sebelum beliau mengajar atau menaikkan semang at Pemuda-pemuda Melayu untuk berjuang membela tanah air, beliau telah menunjukkan satu contoh terhadap pendirian perjuangannya berhubung dengan kemerdekaan Tanah Melayu. Untuk tujuan ini, BURMY telah menyifatkan dirinya sebagai seorang tentera yang betul-betul berjuang untuk kemerdekaan negaranya.

         BURMY juga berpendapat bahawa golongan anak muda sepatutnya memainkan peranan penting terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan dan menjadi tulang belakang negara. Pendek kata, peribahasa yang mengatakan bahawa “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”, adalah satu-satunya peribahasa yang dipegang dan kemerdekaan sesuatu negara. Untuk mencapai cita-cita ini, BURMY telah menulis sebuah puisi yang bertajuk “Pemuda! Seruanku” yang disiarkan di dalam Majalah Guru pada tahun 1952. Di dalam puisinya ini, BURMY cuba menyeru pemuda-pemudi Melayu supaya bersama-sama berganding bahu membela kemerdekaan Tanah Melayu. Di saat-saat inilah UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah mula berusaha mencapai kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris.

Mukasurat: 1  2  3  4  5