Datuk Haji Borhan Mohd. Yaman (BURMY) Datuk Haji Borhan Mohd. Yaman (BURMY)

   

  Melalui puisi “Penganjur” BURMY inginkan pemimpin-pemimpin kemerdekaan Tanah Melayu mempunyai sifat yang jujur, setia, bertenaga, dan sanggup menerima cabaran ketika sedang berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Di samping itu, mereka hendaklah berjiwa rakyat dan sentiasa “Tidak mundur menghadapi bahaya”, “sanggup berjuang, sehidup semati” dan “bersama-sama rakyat jelata” berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu dari Kerajaan Inggeris.

  Sebagai seorang ahli UMNO, BURMY berpendapat seseorang atau pemimpin UMNO yang ingin membuat sesuatu perubahan yang bertentangan dengan perlembagaan UMNO hendaklah diambil tindakan tegas atau disingkir daripada menjadi ahli UMNO. Dalam hal ini, BURMY tidak bersetuju dengan sikap bekas Yang Dipertua UMNO, Datuk Onn bin Datuk Jaafar yang ingin membuka keahlian UMNO kepada orang asing pada tahun 1950. Cadangan Datuk Onn ini mendapat tentangan hebat dari berbagai peringkat dalam UMNO ketika itu. Perubahan sikap Datuk Onn ini telah digambarkan di dalam puisi “Manifesto Palsu” yang dicipta oleh BURMY dan dimuatkan dalam akhbar Merdeka, keluaran 15 November 1954. Walaupun Datuk Onn telah mewujudkan Parti Kemerdekaan (IMP) pada tahun 1951, IMP tidak mendapat sambutan dari orang Melayu. Kebanyakan orang Melayu yang menyertai UMNO tetap setia dengan Perlembagaan UMNO yang hanya membenarkan orang Melayu menjadi ahli UMNO dan berjuang untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air.

  Di dalam puisi “Manifesto Palsu”, BURMY cuba meningkatkan kembali janji-janji dan perjuangan Datuk Onn ketika menjadi Yang Dipertua UMNO dari tahun 1946 hingga 1951. Semasa menjadi pemimpin UMNO, beliau terkenal dengan seorang pemimpin yang ikhlas dan berjuang untuk kepentingan orang Melayu. Sebagai seorang pemimpin ketika itu, Datuk Onn telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang sanggup berkorban demi untuk kepentingan orang Melayu. Di samping itu, beliau pernah berjanji, sekiranya dia mati, mayatnya hendaklah dikapankan dengan bendera UMNO. Bagi BURMY, janji-janji yang dilaungkan oleh Datuk Onn semasa menjadi Yang Dipertua UMNO bolehlah dianggap sebagai ”Manifesto Palsu”. Sebaliknya Datuk Onn haruslah sedar bahawa beliau menjadi popular dan diterima oleh orang Melayu ialah kerana sikap perjuangan asalnya dan janji-janji yang menarik berhubung dengan kepentingan orang Melayu.

  Bagi BURMY, keputusan yang diambil oleh Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO dan menarik diri dari menjadi ahli UMNO telah memberikan pengajaran dan kesedaran kepada orang Melayu apabila memilih pemimpin mereka di masa-masa akan datang. Melalui puisi yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air, manakala puisi “Manifesto Palsu” BURMY ini menunjukkan satu contoh pemimpin Melayu yang telah memesongkan perjuangan asalnya dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

  BURMY merupakan seorang penulis dan ahli politik yang meminati membaca buku-buku sejarah dan melihat kesan sejarah tanah air. Bagi BURMY, buku-buku yang berhubung dengan sejarah perjuangan bangsa Melayu sepatutnya dibaca oleh anak-anak bangsa kita manakala bahan-bahan atau lambang yang menggambarkan kejatuhan bangsa hendaklah dihindarkan. Beliau sungguh tidak berpuas hati dengan sikap orang ramai yang mengagungkan negeri Melaka sebagai negeri yang terkenal dengan lambang-lambang atau kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan oleh penjajah dari barat. Sebaliknya mereka melupakan bahawa Melaka terkenal sebagai sebuah negeri mempunyai jajahan takluk yang luas dan kaya dengan kebudayaan serta maju dalam bidang ekonomi di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka di abad ke-15. Walaupun kesan-kesan atau peninggalan sejarah di zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak dapat dilihat atau dikesan, maka ia hendaklah menjadi tanggungjawab kerajaan atau Persatuan Sejarah mengabadikan kesan kegemilangan Kerajaan Melayu dengan mendirikan atau menciptakan sesuatu lambang yang boleh membanggakan kita di Melaka. Kemudiannya, lambang ini akan menjadi buah mulut dari orang ramai bahawa Melaka merupakan sebuah negeri yang terkenal dan maju sebagai negeri yang pernah dijajah oleh kuasa barat. Untuk tujuan ini, BURMY telah menulis sebuah sajak yang bertajuk “Lambang Kota Melaka”, disiarkan dalam Majalah Guru keluaran tahun 1954 dan disiarkan juga dalam akhbar Merdeka.

  Di dalam puisi “Lambang Kota Melaka”, BURMY menggambarkan pandangannya terhadap Kota Melaka (A Famosa). Beliau tidak bersetuju dengan sikap orang ramai yang membanggakan Kota Melaka, dan menjadikannya lambang atau logo kebangsaan mereka. Bagi BURMY, Kota Melaka bukanlah merupakan lambang kejayaan dan boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu. Sebaliknya ia merupakan lambang kejatuhan kewibawaan bangsa Melayu. Dalam hal ini, BURMY berpendapat bahawa kita perlulah mengagungkan atau memuji kejayaan bangsa dan tanah air tetapi bukan kejatuhan bangsa dan negara yang patut dibanggakan.

Mukasurat: 1  2  3  4  5