
Dato’ P.G. Lim atau Lim Phaik Gan telah dilahirkan pada 29 Jun 1918 di Kota London, England. Meskipun begitu, beliau telah dibesarkan di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan (awal) di Sekolah Convent, Pulau Pinang. Setelah menamatkan pengajiannya di sekolah tersebut, beliau telah berpeluang melanjutkan pelajaran ke Girton College England dan Universiti Cambridge hingga lulus sarjana undang-undang. Atas semangat inginkan kejayaan yang lebih bermakna, beliau telah berjaya memperoleh Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn England.
Sekembalinya ke tanahair dalam tahun 1949, beliau telah bertugas sebagai Peguamcara dan Peguambela sehingga tahun 1971. Dalam tahun 1971, beliau telah dilantik sebagai Duta dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Bangsa-bangsa Bersatu dan kemudiannya dilantik sebagai Duta Kerajaan Malaysia ke Yugoslavia dan Australia antara tahun 1973 hingga 1977. Dalam jangka masa tersebut, beliau turut dilantik sebagai wakil tetap ke UNIDO (United Nations Industial Development Organisation) dan wakil tetap ke IAER (International Atomic Anergy Agency) serta pernah menjadi Naib Presiden “Economic and Social Council” United Nations dan Pengerusi Social Comittee of the Economic and Social Council (1971-1972). Dalam tahun 1977 hingga 1979, beliau telah dilantik pula sebagai Duta Malaysia di Belgium dan ke Persatuan Ekonomi Negara-negara Eropah (EEC). Selepas 10 tahun di luar negara, beliau kembali ke tanah air pada tahun 1980 dan dua tahun kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA). Jawatan ini dipegangnya selama 18 tahun sehingga Februari 2000.
Di samping kerjaya beliau, Dato’ Lim Phaik Gan juga turut melibatkan diri dengan aktif dalam bidang sosial dan rekreasi serta pernah menjawat beberapa jawatan penting seperti:-
- Timbalan/Pemangku Pengerusi Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur (1963-1971)
- Setiausaha Majlis Perundangan Malaysia (1955-1956)
- Ahli dan wakil dalam Cambridge Women’s Fencing Club
- Ahli Jawatankuasa National Consultative
- Ahli Royal Commission On Reform of Marriage and Devoce Laws (1970)
- Ahli Mediation Commission on Wage Structure antara MPIEA dan NUPW (1964)
Semasa menjawat jawatan Setiausaha Majlis Perundangan Malaysia, beliau telah mewakili majlis ini ke Persidangan Komanwel yang diadakan di Sydney, Australia dalam tahun 1965. Beliau juga telah diundang ke Seminar “International Commission of Jurists” di Papua New Guinea (1965) dan Sri Lanka (1966). Di samping itu, beliau sering diundang ke persidangan-persidangan anjuran Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
Dato’ Lim Phaik Gan, telah dianugerahkan “Red Bag” pada tahun 1964 oleh Rt. Hon Sir Dingle Foot, Q.C., bekas “Solicitor-General” di Britain kerana sumbangan beliau membantu Sir Dingle menghasilkan Railwaymen’s Union of Malaya dalam usaha mendapatkan pengiktirafan sebagai Pegawai Kerajaan. Jasa dan khidmat beliau kepada bangsa dan negara tidak dilupakan begitu saja. Ini terbukti dengan penganugerahan Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia pada 25 Ogos 1982. Beliau juga telah dikurniakan Darjah Yang Maha Mulia Mangku Negeri (DMPN) oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada bulan Julai 1997 yang membawa gelaran ‘Dato’.
Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia
4 Oktober 1986
Arkib Negara Malaysia