Datuk Hj. Borhan Mohd. Yaman (Burmy) terkenal sebagai seorang ahli politik sejak di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO (1951-1971). Di negeri Melaka pula, beliau merupakan ahli UMNO yang aktif bersama-sama dengan Encik Abdul Ghafar Baba, iaitu Ketua Menteri Melaka ketika itu. Pada masa itu, BURMY menjadi Setiausaha (1958 dan 1960-1961) dan menjadi Ketua Pemuda UMNO negeri Melaka dari tahun 1959 hingga 1969.
BURMY bertugas sebagai seorang guru Melayu dan mendapat kebenaran berpolitik dari pihak Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. Di antara minat beliau ialah membaca dan menulis di dalam akhbar dan majalah. Di samping itu, beliau menjadi wakil akhbar Merdeka bagi negeri Melaka. Sebagai seorang anak muda yang cintakan kepada bangsa, agama dan tanah air, BURMY sentiasa mengambil berat pergolakan politik Tanah Melayu. Sejak 1940-an lagi, beliau berminat membaca berita-berita dan buku-buku yang berhubung dengan politik Tanah Melayu dan luar negeri terutama Indonesia.
Di samping menjadi ahli UMNO cawangan bandar Melaka pada tahun 1951, BURMY turut melibatkan diri dalam lapangan penulisan. Beliau kerap menulis di dalam majalah Guru dan Akhbar Merdeka. Namun begitu, beliau terkenal sebagai seorang penulis rencana dan puisi yang bertemakan kebangsaan. Pada ketika ini, BURMY telah menggabungkan kegiatan politik dengan lapangan penulisan bagi perjuangannya untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah airnya. BURMY yang dilahirkan di Kg. Lubok Redan, Kuala Sungai Baru pada 7 April 1929 telah memainkan peranan penting bagi membawa masuk anak-anak muda menjadi ahli UMNO. Semangat beliau yang cintakan kepada bangsa, agama dan kemerdekaan negeri dibuktikan apabila beliau mula menjadi ahli UMNO pada tahun 1951. Ketika itu beliau berumur 22 tahun. Sebagai ahli yang berkaliber, BURMY telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Melaka. Seterusnya, pada tahun 1954 beliau telah dipilih menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Melaka.
Bintang politik BURMY mula bersinar apabila beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO negeri Melaka pada tahun 1955. Kebolehan dan kecenderungan beliau terhadap politik menyebabkan beliau dilantik menjadi Setiausaha UMNO negeri Melaka dari 1 April 1958 sehingga 1 Januari 1959. Dan pada tahun 1959, BURMY telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka sehingga 1969. Di samping itu, beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Tanah Melayu pada tahun 1961-1971 dan menjadi Setiausaha UMNO negeri Melaka (1960-1961).
Semasa aktif dalam UMNO (1955-1971), BURMY tidak lupa membuat pembelaan terhadap perkara-perkara yang berhubung dengan kepentingan bangsa, agama dan negara. Ketika menjadi Ahli Jawatankuasa Lembaga Kemajuan Bahasa Kebangsaan (LKBK) di bawah Majlis Perbandaran Kota Melaka pada tahun 1962 (mewakili UMNO), BURMY memainkan peranan penting bagi menukar nama-nama jalan kepada nama-nama bercorak kebangsaan. Di antaranya beliau mengusulkan penukaran ‘ Wolforstan Road’ kepada ‘Jalan Bendahara’, ‘Main Road’ dan ‘Eastern Road’ kepada ‘Jalan Temenggong’, ‘Buona Vista Road’ kepada ‘Jalan Hang Tuah’, ‘First Street’ kepada ‘Jalan Hang Jebat’, ‘Second Cross Street’ kepada ‘Jalan Hang Kasturi’, ‘Third Cross Road’ kepada ‘Jalan Hang Lekir’ dan ‘Fourth Cross Street’
Ketika menjadi Pengerusi LKBM, BURMY telah membuat seruan kepada wakil-wakil Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan Chettiar dan Dewan Perniagaan Melaka supaya mengubah tulisan-tulisan papan tanda kedai mereka ke dalam Bahasa Kebangsaan (Melayu). Ini jelas apabila beliau menegaskan di dalam satu perjumpaan bahawa ‘Ahli-ahli perniagaan seharusnya menunjukkan taat setia mereka kepada negeri ini melalui penggunaan bahasa kebangsaan, terutama sekali di dalam ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ yang sedang dilancarkan ketika itu (Berita harian Keluaran 27.2.1963).