Datuk Punch Gunalan Datuk Punch Gunalan

  Dilahirkan pada 4 Februari 1944 di Selangor. Menerima pendidikan rendah dan menengah di Sekolah King George V di Seremban dan menduduki peperiksaan HSC pada tahun 1963. Melanjutkan pelajaran di United Kingdom pada tahun 1964 dan lulus di bidang kejuruteraan mekanikal dari Kolej Teknologi Brighton, Sussex, England pada tahun 1967.

  Penglibatannya dalam sukan badminton bermula di awal tahun 1960-an dengan menjadi juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan bagi acara perseorangan, beregu dan beregu campuran (1961-1963). Beliau menjadi juara remaja Kejohanan Badminton Gabungan Asia (ABC) di Kuala Lumpur pada tahun 1962.

  Kejayaan yang cemerlang dalam sukan badminton pada tahun 1969 membolehkan beliau dianugerahkan Olahragawan Negara. Tahun 1970, beliau mewakili skuad Piala Thomas dan tumpas kepada Indonesia di Kuala Lumpur dalam perlawanan akhir. Bagaimanapun beliau memenangi pingat emas acara beregu di Sukan Asia pada tahun 1970. Beliau turut bermain dengan Skuad Piala Thomas Negara pada tahun 1973. Beliau turut cemerlang di tahun 1974 dengan meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu di Kejohanan Komanwel, Christchurch, New Zealand dan menerima anugerah Olahragawan Negara buat kali kedua.

  Selepas berhenti bermain, beliau melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan merupakan Ketua Jurulatih Pasukan Piala Thomas Malaysia pada tahun 1992. Dari tahun 1985-1997, beliau telah memegang jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia. Beliau juga turut aktif di dalam Asian Badminton Confederation (ABC) sebagai Setiausaha Agung Kehormat dan Naib Presiden bagi International Badminton Federation (IBF) dari tahun 1999 hingga kini.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Piala Thomas
27 April 2000
Arkib Negara Malaysia