Datuk Zakiah Hanum Datuk Zakiah Hanum

Datuk Zakiah Hanum, satu nama yang disengani dan dihormati oleh masyarakat Arkib baik dalam negara mahupun luar negara. Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia yang ke-5 dan pernah berkhidmat selama 34 tahun di Arkib Negara dan dalam tempoh tersebut, selama  18 tahun pula memegang  jawatan Ketua Pengarah. Beliau banyak berjasa dan memberikan sumbangan  kepada negara, jabatan dan profesian arkib. Nama ‘Zakiah Hanum’ begitu sinonim dengan Arkib Negara, walaupun telah lama meninggalkan Jabatan ini tetapi sesekali masih menjadi sebutan bukan sahaja oleh pemimpin negara, tokoh politik, ahli akademik, golongan pentadbir malah oleh orang awam dari bandar dan luar bandar serta di luar negara.

Mengimbau kembali latar belakang Datuk Zakiah Hanum ketika zaman kanak-kanak sehingga bersara dari perkhidmatan kerajaan, dapat mengembalikan kenangan serta dapat memperkenalkan kepada kita terutama generasi baru Arkib Negara tentang tokoh yang telah menerajui dan melonjakkan nama Jabatan ini pada suatu masa dahulu.

Datuk Zakiah Hanum dilahirkan pada 15 September 1937 di Alor Setar, Kedah. Membesar dalam sebuah keluarga yang besar dengan sembilan adik beradik, lima perempuan dan empat laki-laki. Beliau adalah anak kelima dari keluarga Haji Abdul Hamid bin Hassan dan Hajah Cik Yah binti Ismail.   Beliau yang sepatutnya memasuki sekolah pada usia 6 tahun pada 1944 telah  ditangguhkan oleh keluarganya disebabkan Perang Dunia Kedua ketika itu. Beliau kemudian dimasukkan ke Sekolah Melayu Derga pada tahun 1946 selama satu tahun yang memberi peluang kepadanya belajar membaca dan menulis terutama dalam tulisan jawi dan akhirnya menjadikan beliau seorang yang cekap menulis dan membaca jawi. Setahun kemudian iaitu pada 1947 beliau bertukar ke Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar untuk memulakan persekolahan di darjah satu. (Sekolah ini ditukarkan nama kepada Sekolah Menengah Sultanah Asma pada tahun 1954). Beliau meneruskan persekolahan di sekolah ini sehingga tahun 1955 iaitu tamat darjah sembilan. Pada tahun 1955 beliau menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan merupakan kumpulan pertama dari Sekolah Sultanah Asma yang menduduki peperiksaan tersebut. Beliau berjaya lulus dengan keputusan cemerlang dan muncul sebagai satu-satunya pelajar dari 22 pelajar lain yang mendapat gred superior.  Keputusan cemerlang memberi peluang untuknya melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6.

Memasuki tingkatan enam di Methodist Boy’s School, Pulau Pinang, yang ketika itu baru membuka pintu bagi pelajar perempuan untuk  tingkatan enam. Pada tahun 1957 beliau berjaya memasuki Universiti Malaya bagi menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Beliau merupakan kumpulan pertama melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur setelah universiti itu dipindahkan dari Singapura, tetapi disebabkan kemudahan infrastruktur yang belum siap sepenuhnya beliau perlu mengikuti kuliah di Universiti Malaya Singapura antara tahun 1958 hingga 1960. Pada tahun 1961 apabila Universiti Malaya, Kuala Lumpur mula beroperasi sepenuhnya beliau kembali menyambung pengajian di sini sehingga tamat pangaijan pada tahun 1961. Datuk Zakiah termasuk  dalam kumpulan pertama graduan yang dilahirkan oleh  Universiti Malaya, Kuala Lumpur.           

Datuk Zakiah Hanum memasuki perkhidmatan awam pada 4 Ogos 1961, apabila dilantik sebagai Assistant Record Keeper di Public Records Office.  Bermula dari jawatan ini beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menabur bakti kepada negara melalui jabatan tersebut yang kemudian ditukarkan namanya kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963. Sebaik menerima tugas ini beliau telah dihantar ke New Delhi, India bagi mengikuti kursus profesional kearkiban di sana selama setahun. Kembali semula ke tanahair pada 1962 dengan berbekalkan Diploma in Archives Keeping, beliau terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Bermula sebagai Assistant Record Keeper  pada tahun 1961 atau sekarang disebut sebagai Pegawai Arkib, membolehkan beliau melaksanakan tugas di Arkib Negara dari peringkat  pegawai biasa hingga kepada seorang Ketua Pengarah.  Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah pada 1 November 1965 dan kemudian sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Arkib) pada 1 Januari 1970. Pada 1977 beliau diberi kepercayaan untuk memangku jawatan Ketua Pengarah sehinggalah disahkan ke jawatan tersebut pada 1980 sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia. Perlantikan beliau telah mencipta satu lagi sejarah dalam perkhidmatan awam apabila menjadi Ketua Pengarah pertama dari skim Pegawai Arkib, juga wanita pertama mengetuai sebuah Jabatan Persekutuan. Jawatan ini terus dipegang sehingga beliau bersara wajib pada 15 September 1992. Memandangkan khidmat beliau masih diperlukan untuk terus menerajui Arkib Negara, tugas beliau telah disambung secara kontrak untuk tempoh dua tahun iaitu dari 16 September 1992 hingga 15 September 1994, dan sekali lagi disambung kontrak untuk jangkamasa setahun lagi sehingga 1 November 1995.
Selain mengurus dan mentadbir Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan khususnya yang melibatkan kebajikan kaum wanita. Beliau begitu dikenali dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan sebagai individu yang sentiasa sedia menghulurkan bantuan tenaga dan buah fikiran. Diperingkat antarabangsa pula, terutama didalam bidang kearkiban nama beliau menjadi sebutan bukan sahaja di rantau ini malah diterima untuk duduk sebaris dengan pakar arkib antarabangsa di UNESCO dan ICA yang rata-rata keanggotaannya dimonopoli oleh negara-negara Eropah. Beliau tidak pernah jemu melontarkan idea dan pandangan demi memartabatkan Arkib Negara Malaysia dan juga arkib negara lain yang seiring dalam SARBICA. Beliau telah menghasilkan lebih 20 judul buku serta aktif menulis untuk siaran radio, TV, majalah serta beberapa jurnal antarabangsa terutama yang berkaitan dengan bidang arkib.

Sebagai menghargai jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan dengan beberapa anugerah dari dalam dan luar negara iaitu Johan Setia Mahkota (JSM) pada 2 Jun 1976, Setia Mahkota Selangor (SMS) pada 8 Mac 1981, Darjah Kebesaran Dato’ Setia Di Raja Kedah (DSDK) pada  22 Januari 1989 (membawa gelaran Dato’), Anugerah Ramon Magsaysay  pada 31 Ogos 1989 (Anugerah Dari Ramon Magsaysay Foundation, Filipina), Anugerah Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah pada 12 Oktober 1992 (oleh NCWO), Pingat Panglima Jasa Negara (PJN) pada 1997 (membawa gelaran ‘Datuk’). Penghormatan terbaru diberikan oleh sebuah salah sebuah Universiti terkemuka negara iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia.  Pada  25 September 2011 semasa istiadat Konvokesyen ke-39 UKM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Datuk Zakiah Hanum. Anugerah ini secara tidak langsung turut mengiktiraf Arkib Negara sebagai Jabatan yang  memelihara warisan khazanah  negara serta menyediakan kemudahan penyelidikan dan rujukan kepada ahli akademik dan masyarakat keseluruhannya.

Sebagai penutup saya petik salah satu pandangan  Datuk Zakiah yang sentiasa percaya bahawa setiap dari kita berupaya untuk menjadi manusia kreatif dan inovatif. Atas dasar inilah beliau melakukan dan mencuba pelbagai cara semasa menerajui Arkib Negara hingga dari sebuah Jabatan yang dianggap menyimpan ‘...old paper,.. surat khabar lama...’ kepada sebuah jabatan yang dikenali ramai hari ini.
“...Masyarakat kita memang kaya dengan ilmu dan hebat dengan reka-cipta kreatif. Tetapi sayangnya, kita terlalu baik hati dan merendah diri, jadi jarang kita mengetengahkan kebolehan kita. Dengan sebab itu segala ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dianugerahkan Allah kepada kita resap begitu sahaja tanpa dilihat atau dihayati oleh sesiapa.”
(Dipetik dari buku: “SenandikaTok Wa” , Datuk Zakiah Hanum, 1996)

 

kerajaan sendiri, 5a   kerajaan sendiri,5b
     

Ijazah Doktor Persuratan yang diterima dari Universiti kebangsaan Malaysia pada Istiadat Konvokesyen ke 36 pada 25 September 2011

 

Datuk Zakiah Hanum semasa menjawat jawatan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia

Artikel disediakan oleh Seksyen Dokumentasi
Arkib Negara Malaysia/2011