Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba)

Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) dilahirkan pada 16 September 1895  di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan sebagai anak Bugis yang terkenal dengan semangat juang. Za'ba mula bersekolah ketika berusia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir dan kemudian bertukar ke Sekolah Melayu Linggi. Setelah tamat pendidikan sekolah Melayu, Za'ba melanjutkan pelajarannya ke St.Paul's Institution, Seremban. Za'ba muncul sebagai anak Melayu yang pertama di Negeri Sembilan yang menduduki Senior Cambridge dan seterusnya berjaya di dalam peperiksaan tersebut pada tahun 1915.  Sungguhpun  Za'ba hanya berkesempatan mendapat asuhan agama di peringkat asas sahaja semasa di Linggi, tetapi beliau tetap berusaha menambah pengetahuannya mengenai Islam, baik semasa di Sekolah Inggeris mahupun setelah tamat pengajiannya.

Sejarah kerjaya Za'ba boleh dikatakan menempuh liku-liku hidup yang penuh cabaran dan rumit tetapi berakhir dengan kejayaan. Beliau bermula sebagai seorang guru di Johor Baharu (1916-1918), kemudian berpindah ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, (1923) dan berikutnya ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1924-1939), Jabatan Penerangan Singapura (1939-1942), School of Oriental and African Studies, London (1947-1951) dan Universiti Malaya Singapura (1954-1959).

Walaupun karier, Za'ba sebagai penulis, penterjemah dan juga pengarang buku-buku untuk sekolah bermula pada tahun 1924, Za'ba sebenarnya mula menulis rencana pada tahun 1916 setelah lulus sekolah Inggeris. Rencananya mengenai temasya ‘Mandi Safar Yang Sangat Masyhur' di Tanjung Keling, Melaka  disiarkan tiga kali oleh akhbar Lembaga Budi di Singapura. Za'ba merupakan seorang yang radikal dalam mengemukakan pendapatnya, baik mengenai bahasa mahupun agama. Beliau seorang nasionalis yang tajam penanya, menulis tentang hal keadaan bangsanya dengan berani.  Za'ba sering menggunakan nama pena ‘Patriot' di dalam penulisannya, selain daripada  ‘Za'ba', ‘Zai Penjelmaan', ‘Anak Melayu Jati', ‘Melayu yang berugama Islam', ‘Z' dan ‘Melayu'.

Sejak berusia 12 tahun lagi, Za'ba telah berazam untuk menulis sebuah buku nahu Melayu, ketika beliau sedang belajar bahasa Arab. Beliau begitu meminati bidang nahu. Terlintas difikirannya mengapa orang Melayu tidak menulis tentang nahunya sendiri? Azamnya untuk menulis buku nahu Melayu itu bertambah bila mendapat pendidikan Inggeris. Akhirnya lahirlah buku kaedah ejaan dan nahu ‘Pelita Bahasa Melayu' sebanyak tiga jilid. Buku ini diterbitkan pada tahun 1934 dan disusuli dengan sebuah lagi buku iaitu ‘Ilmu Mengarang Melayu' dalam tahun 1940. Pada tahun 1958, sebuah lagi buku  diterbitkan iaitu "Asuhan Budi Menerusi Islam'. Buku ini merupakan kumpulan ceramah yang disampaikan di radio menerusi rancangan agama dari Kuala Lumpur dari pertengahan bulan Julai 1951 hingga  Januari 1953.

Kesukaannya berdiri atas kaki sendiri dengan falsafahnya yang masyhur iaitu ‘Percubaan membawa kejayaan' adalah satu amalan yang dipegang oleh Za'ba  sehingga ke akhir hayatnya. Kegigihan dan semangat juang beliau ini telah diberi pengiktirafan. Za'ba dianugerahkan gelaran ‘Pendeta' oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Johor Baharu pada 21 September 1956.  Za'ba juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada September 1956 dan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 23 Jun 1973 sempena konvensyen pertamanya. Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun. Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai seorang nasionalis ulung dan anak watan yang banyak berjasa dan berbakti kepada negara dalam perkembangan bahasa dan persuratan Melayu.

Skrip disediakan oleh : Seksyen Dokumentasi
Arkib Negara Malaysia/2011