Darurat Angkara Komunis
Pemberontakan bersenjata PKM ini di mulai dengan menyerang beberapa sasaran pasukan keselamatan. Serangan ini bertujuan untuk memperlihatkan kesungguhan PKM dalam memulakan semula pemberontakan bersenjatanya. Antara serangan yang telah dilakukan oleh pengganas komunis ini termasuklah serangan hendap terhadap satu konvoi pasukan keselamatan pada 17 Jun 1968. Dalam serangan tersebut, konvoi Batalion Pertama, Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Perak telah diserang hendap oleh penggans komunis berhampiran kawasan sempadan Kroh (Perak) dan Betong (Thailand). Dalam kejadian tersebut, tiga buah kenderaan polis mengalami kerosakan teruk, 16 orang anggota Pasukan Polis Hutan terbunuh dan 17 orang anggota lagi mengalami kecederaan.
PKM juga bukan sahaja memperhebatkan gerakan ketenteraanya di hutan belantara, malahan memasuki bandar dan melakukan pelbagai sabotaj dan kemusnahan. Antara yang menjadi sasaran utama pengganas komunis termasuklah kerja pembinaan Lebuh Raya Timur – Barat sepanjang 85 kilometer yang menghubungkan Gerik, Perak dan Pasir Puteh, Kelantan. Kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit apabila banyak jentera dan kelengkapan pembinaan diletupkan serta dimusnahkan.
Pada 26 Ogos 1975, ibu kota Kuala Lumpur dikejutkan dengan serangan pengeboman Tugu Negara diikuti serangan ke atas Kem Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Dalam serangan tersebut seramai dua anggota PPH terbunuh serta mencederakan 41 anggota yang lain.
Pengganas komunis juga bertindak lebih agresif dan ganas dengan melakukan siri pembunuhan ke atas anggota pasukan keselamatan. Antara keganasan yang dilakukan termasuklah membunuh pegawai dan anggota Cawangan Khas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd. Rahman Hashim pada 6 Jun 1974 dan Ketua Polis Kontinjen Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975 di Ipoh, Perak.
Perang gerila yang dicetus oleh PKM pada tahun 1968 berlarutan selama 21 tahun. Namun, titik noktah bagi pemberontakan ini dicapai pada tahun 1989 apabila PKM menyambut seruan damai yang diusahakan oleh pihak kerajaan Thailand dengan kerjasama pihak Kerajaan Malaysia. Lanjutan daripada rundingan yang dijalankan selama hampir setahun, pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai telah dimeterai antara PKM dengan Pihak Kerajaan Malaysia; dan PKM dengan kerajaan Thailand. Berdasarkan kepada perjanjian ini, PKM bersetuju menamatkan pemberontakan dan memusnahkan senjata serta membubarkan pasukan senjatanya. Selain itu, PKM juga memberikan jaminan kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand untuk menghormati undang-undang kedua-dua negara.
Dalam upacara menandatangani Perjanjian Damai yang diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai, Thailand ini, PKM diwakili oleh Pengerusinya, Abdullah C.D, Chin Peng dan anggota majlis pusat, Abdul Rashid Maidin. Kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Haniff Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hashim Mohd. Ali. Kerajaan Thailand pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi Dalam Negeri, Jeneral Tan Sri Vhabalit Yongchaiyudh; Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Empat, Lefternan Jeneral Yoodhana Yampundhu; Ketua Pengarah Jabatan Polis Diraja Thailand, Jeneral Polis Saweang Therasawat dan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Encik Anek Sithip Rasasana. Perjanjian damai dan pembubaran Pasukan Komunis Malaya (PKM) ini merupakan lambang kejayaan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam menangani perjuangan bersenjata PKM.
Sesungguhnya kejayaan ini menyumbang kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Oleh sebab itu, nikmat kemerdekaan, keamanan dan keharmonian yang dikecap kini wajarlah disyukuri. Namun begitu, usahlah kita alpa dan leka serta beranggapan ancaman tidak lagi wujud pada masa sekarang dan akan datang. "Kegagalan memandang ke hadapan memungkinkan kita terperangkap ke dalam situasi yang sukar". Begitulah catatan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato' Seri Md. Hashim Hussein, pada 23 Julai 1999 (dipetik dari buku Tentera Darat Menentang Insurgensi Komunis 1968-1989).