Datuk Sudirman Haji Arshad Datuk Sudirman Haji Arshad

Beliau merupakan anak ke tujuh daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau telah dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Kedua ibu bapanya adalah tokoh politik yang tidak asing lagi di bandar tersebut. Bapanya Allahyarham Haji Arshad bin Haji Hassan, seorang ahli perniagaan juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Temerloh sementara ibunya adalah wanita pertama yang menjadi wakil rakyat Pahang iaitu Allahyarhamah Puan Ramlah binti Dahlan.

Allahyarham Sudirman mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Temerloh pada tahun 1961 dan menyambung pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh dan Sekolah Menengah Abu Bakar, Kuantan sehingga tamat Tingkatan Enam. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun 1976 dan meraih Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kepujian (L.L.B.(Hons) pada tahun 1980 dan diiktiraf sebagai peguam (called to the Bar) pada tahun 1984.           

Sejak kecil beliau gemar membaca Al-Quran, berpidato, menyanyi, menari, bersajak, bersyair, melukis dan apa saja yang berkaitan dengan dunia seni. Bakat dan minat seni telah mendorong beliau menyertai pelbagai pertandingan antaranya pertandingan syarahan, menulis esei, nyanyian, syair dan sebagainya. Pada tahun 1976, beliau menjuarai Bintang RTM dan sejak itu nama Allahyarham terus menyerlah dan di beri peluang merakamkan suara ke piring hitam dengan album pertamanya bertajuk Aku Penghiburmu pada tahun 1978.           

Semasa hayatnya, Sudirman telah merakamkan 18 album dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan dalam bentuk piring hitam, kaset dan cekera padat dengan perolehan ‘paltinum' dan ‘emas' di bawah label EMI-Thorn. Antara album beliau termasuklah Perasaan (1979), Anak Muda (1980), Lagu Anak Desa (1981), Lagu dari Kota (1981), Twinkle-Twinkle Little Star (1981), Abadi (1982), Lagu Cinta (1982), Images (1983), Orang Baru (1984), Lagu Dari Sebuah Bilik (1984), MALAM Anak Desa di UKM (1985), Orang Kampung (1986), Pilihan Sentimental Emas (1987), Kul It! (1989), Asia's No 1 Performer (1989), Lagu-Lagu Rakyat (1989) dan Koleksi Klasik (1991). Selepas kematian beliau, empat buah album lagi diterbitkan secara anumerta antara tahun 1992 hingga tahun 1996, menjadikan kesemuanya berjumlah 22 album. Antara album tersebut ialah Jauh Di Sudut hati (1992), Balik Kampung (1993), Setelah Kau Tiada (1995) dan Dwidekad (1996).           

Allahyarham Sudirman juga terkenal dengan lagu-lagu seperti Chow Kit, Punch Card, Aku Seorang Penganggur, Balik Kampung dan lagu patriotik seperti Tanggal 31. Lagu-lagu beliau mempunyai tema kehidupan di bandar dan golongan bawahan. Allahyarham Sudirman disenangi ramai dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat kerana pada setiap persembahan, beliau berjaya menghampiri dan menganjurkan kemesraan kepada penonton. Oleh itu, tidak hairanlah jika beliau diminati bukan sahaja oleh masyarakat Melayu tetapi juga masyarakat Cina,India dan lain-lain. Album beliau juga mendapat sambutan baik di Negara jiran seperti Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Antara kejuaraan dan kejayaan yang di kecapi beliau adalah:
1976    Bintang RTM
1976    Memenangi Peraduan Menulis Esei bertajuk "The Role of Youth in Nation Building" anjuran Japan Airlines
1978    Penghibur Terbaik TV (RTM)
1980    Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (L.L.B9Hons) dan terus mendapat jolokan sebagai "The Singing Lawyer"
1980    Penghibur tempatan yang pertama membuat persembahan di Paddock, Hotel Hilton, Kuala Lumpur
1984    ‘Called to the Bar'
1985    Penghibur Terbaik Malam Seri Angkasa
1985    Penghibur Terbaik TV (RTM)
1985    Dianugerahkan gelaran Duta Penyanyi Rasmi Malaysia oleh Perbadanan Pelancongan Malaysia
1986    Satu-satunya penghibur yang mengadakan konsert terbuka di Chow Kit Road dan dapat menarik lebih dari 100 000 penonton
1987    Penghibur Terbaik Juara Lagu TV3
1988    Dikurniakan Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N)
1989    Penghibur No.1 Asia (‘SALEM Asian Music Arward', di Royal Albert Hall, London
1989    ‘Malaysia's Guiness Stout Effort Award
1992*  Dikurniakan pingat Johan Mangku Negara (J.M.N) olehYang Dipertuan Agong
1992*  Dikurniakan Pingat Ahli Mahkota Pahang (A.M.P) oleh sultan Pahang
1992*  Dikurniakan anugerah Tokoh Berjasa Pahang oleh Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri Pahang
1993*  Anugerah Istimewa Industri Muzik pada Anugerah Industri Muzik (AIM)
1993*  ‘Malaysia's No.1 Entertainer'(NST)
1995*  Hadiah Pertama bagi ‘Mobil-Mabopa Awards for Children's Literature' (Syarikat Mobil Oil)
* diterima selepas beliau meninggal dunia

Selain menyerlah sebagai penghibur, Allahyarham juga merupakan usahawan, jurnalis, penulis, penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, kartunis dan pelakon.

 

Usahawan
Pengarah urusan, Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn Bhd yang mengeluarkan minuman berkarbonat SUDI

Pengerusi ‘Project Advisory Management Services bagi urusan pemasaran

Pengeluar rangkaian pakaian di bawah jenama SUDI SHOPE

Pemilik Sudirman Productions

Pages: 1  2