Encik Awang Bin Salleh Encik Awang Bin Salleh

  Encik Awang bin Salleh dilahirkan pada 23 Februari 1921 di Kampung Lubuk Bangkong, Temerloh Pahang. Beliau memulakan perkhidmatan dengan pasukan Malay Navy pada 10 Disember 1940. Selepas beliau diserapkan ke cawangan ‘telegraphist' dan ditugaskan di atas kapal HMS SCORPION. Akhir tahun 1941 beliau ditugaskan pula di HMS KELANTAN sebagai ‘Wireless Operator'.

  Apabila perang meletus di Tanah Melayu, HMS KELANTAN beberapa kali diserang oleh kapal terbang Jepun. Bagaimanapun kapal ini hanya mengalami kerosakan kecil dan masih dapat meneruskan perjalanan ke Colombo. Sepanjang beliau berada di Colombo, beliau memilih untuk memasuki pasukan gerila anti-Jepun OSS 404 dan mendapat latihan di Diolali Camp dan Poona di India. Pasukan ini ditubuhkan dengan tujuan untuk menyusup masuk ke Tanah Melayu secara gerila dan mengusir Jepun yang sedang berkuasa. Beliau kembali semula ke Tanah Melayu bersama Tentera Bersekutu pada bulan September 1945 untuk menyerang kedudukan Jepun. Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, Jepun menyerah kalah dan meletakkan senjata. Pasukan ini kemudian mendarat dengan selamat di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang).

  Beliau terus berkhidmat dengan Pasukan Malay Navy dan ditugaskan di Pulau Belakang Mati sehingga pasukan tersebut dibubarkan dalam tahun 1947. Apabila pasukan Malayan Navy Force ditubuhkan dalam tahun 1947 beliau menyertai semula dan bersara pada 15 Ogos 1958 dalam pangkat Bintara Kanan.

Pengkisahan Sejarah Tentera Laut DiRaja Malaysia
5 Disember 1988
Kementerian Pertahanan Malaysia