Encik Tan Aik Huang Encik Tan Aik Huang

Beliau dilahirkan pada 14 Februari 1946 di Singapura. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Pykett Methodist dan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Methodist. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Asian Institute of Management, Manila, Filipina.

Tan Aik Huang mula bermain badminton ketika berusia tujuh tahun. Bakatnya mula menyerlah apabila memenangi Perseorangan Terbuka Sekolah-sekolah Malaysia pada
tahun 1963, 1964 dan 1965. Beliau turut menguasai Perseorangan Terbuka Pulau Pinang dari tahun 1964-1968, Terbuka Malaysia tahun 1965-1967. Tahun 1965, beliau juga menjuarai pingat emas perseorangan bagi Sukan SEA, Terbuka Denmark, Jemputan Terbuka Dunia di Glasgow dan naib juara di All England.

Kejayaan menjadi Juara All England pada tahun 1966 merupakan kejayaan terakhir pemain perseorangan negara memenangi kejohanan individu berprestij  itu. Di tahun yang sama juga beliau berjaya memenangi Terbuka Kanada, Terbuka Amerika Syarikat, Terbuka Sweden, Jemputan Terbuka Dunia di Glosgow dan memenangi pingat emas bagi acara perseorangan dan beregu di Sukan Komanwel, Kingston, Jamaica. Beliau menjadi naib juara Kejohanan Seluruh England pada tahun 1968 setelah ditewaskan oleh Rudy Hartono dari Indonesia.

Tan Aik Huang merupakan pemain skuad Piala Thomas pada tahun 1964, 1967, 1970 dan 1973. Beliau bermain bagi acara perseorangan dan juga beregu.

Pengkisahan Sejarah Piala Thomas
27 April 2000
Arkib Negara Malaysia.