Y.M. Engku Datuk Ibrahim Bin Engku Ngah Y.M. Engku Datuk Ibrahim Bin Engku Ngah

Tokoh Pengkisahan Sejarah Jabatan Setiausaha Persekutuan Sarawak (Siri Kedua)
16 April 1998
Arkib Negara Malaysia


Y.M. Engku Datuk Ibrahim Bin Engku Ngah

   Y.M. Engku Datuk Ibrahim bin Engku Ngah telah dilahirkan pada 5 April 1932 di Kampung Raja, Besut Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut Terengganu.

  Y.M. Engku Datuk Ibrahim kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1951 dengan mendapat Sijil Persekolahan ‘Senior Cambridge’. Pada tahun 1967, beliau telah menghadiri kursus perjawatan ‘establishment’ di Royal Institute of Public Administration, London. Kemudian pada 1981 pula, beliau mengikuti kursus ‘Advanced Management Programme’ di ‘The Australia Administrative Staff College’ di Melbourne, Australia.

  Beliau memulakan perkhidmatan dengan kerajaan pada 1953 sebagai Penolong Pegawai Daerah, Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut hingga tahun 1963. Pada tahun 1963-1968, beliau ditugaskan pula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Perak dan pada tahun 1968 sebagai Pegawai Daerah Dinding. Kemudiannya pada tahun 1969, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Kemajuan Negeri Kedah dan ditukarkan ke Sarawak pada tahun 1972 dengan jawatan yang sama.

  Pada Februari 1974, Engku Datuk Ibrahim dilantik pula sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Sarawak untuk tempoh sebulan sahaja iaitu sehingga Mac 1974 apabila kementerian ini dibubarkan dan digantikan semula dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak yang ke 7 sehingga tahun 1980. Pada tahun 1980, beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong hinggalah ke tahun 1985. Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1985 dan bersara pada 5 April 1987. Setelah bersara, beliau dilantik pula sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia secara kontrak dari tahun 1989 hingga awal Januari 2011.

 Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu P.S.D., D.S.A.P., D.P.M.S, D.S.D.K, P.N.B.S, A.M.P, P.P.C, dan P.J.K. Beliau juga bergiat cergas dalam kegiatan sukarela dan menjadi Ahli Persatuan Anak-anak Yatim Wilayah Persekutuan.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Jabatan Setiausaha Persekutuan Sarawak (Siri Kedua)
16 April 1998
Arkib Negara Malaysia