Tun Fatimah Bt Haji Hashim Tun Fatimah Bt Haji Hashim

Tun Fatimah Bt Haji Hashim

Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia

Tun Fatimah Bt Haji Hashim

   Dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Kampung Parit Keroma, Muar, Johor dan telah mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu Lelaki Kampung Parit Keroma dan kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Melayu Perempuan Mersing. Beliau pernah menerima latihan perguruan yang dihadirinya pada tiap-tiap hari Sabtu di Sekolah Perempuan Mersing selama dua tahun, tetapi beliau tidak mendapat peluang menjadi guru kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua. Walaupun begitu, beliau pernah mengajar di Sekolah Perempuan Mersing bagi menggantikan guru-guru yang bercuti atau sakit.

   Tun Fatimah mula menceburkan diri dalam arena politik pada tahun 1947 sebagai seorang ahli dalam UMNO dengan memakai nombor 315. Pada tahun 1948 beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Cawangan Kaum Ibu Kampung Nong Chik Johor Bahru yang ditugaskan mengutip yuran dan mencari ahli. Di samping itu beliau pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha UMNO Cawangan Johor Bahru (Ketika itu Y.Bhg. Datin Suhaila sebagai Setiausaha) dan pernah menjadi wakil Kaum Ibu UMNO. Beliau kemudiannya telah berpindah ke Kota Tinggi kerana mengikut suami beliau sebagai Majistret dan semasa di sana beliau mendapat kepercayaan menjadi Naib Ketua Kaum Ibu UMNO Kota Tinggi. Di sana beliau sempat membuka kelas dewasa yang diadakan di rumah beliau sendiri untuk membantu penduduk-penduduk yang buta huruf. Di antara tahun 1951-1953, beliau telah memegang jawatan Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu UMNO Johor.

   Usaha-usaha beliau ini terpaksa diberhentikan kerana mengikut suami beliau melanjutkan pelajaran ke England. Setelah pulang dari luar negara pada bulan Jun 1955, beliau aktif semula dalam politik (kali ini di Negeri Perak) dan sama-sama terlibat dalam kempen pilihanraya dan menjadi wakil Parti Perikatan untuk menjaga pengundi-pengundi dalam piliharaya yang diadakan pada bulan Julai 1955. Sekali lagi selepas itu pemimpin-pemimpin UMNO negeri datang menemui beliau dan meminta jasa baik beliau supaya menyusun semula Pergerakan Kaum Ibu UMNO kawasan Ipoh dan beliau telah dipilih menjadi ketua. Beliau kemudiannya dipilih pula untuk memimpin pergerakan UMNO Negeri Perak dalam mesyuarat perhimpunan Agong pada bulan April 1956.

   Pada penghujung tahun 1958, beliau telah mengikut suami beliau bertugas di Kedah Beliau telah bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Jitra/Padang Terap dan menjadi ahli parlimen kawasan tersebut sehingga 20 Mei 1969. Beliau juga telah dilantik menjadi menteri wanita yang pertama dalam Kerajaan Malaysia dengan memegang portfolio Menteri Kebajikan Am.

Mukasurat: 1  2