Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Merdeka Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Merdeka

Pada 28 Ogos 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, mengumumkan anggota jemaah Menteri yang akan menduduki Kabinet Perikatan pertama Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dalam satu persidangan akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur. Anggota Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet baru ini ialah Dato' Abdul Razak bin Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan); Kolenel Sir Henry Hau Shik Lee (Menteri Kewangan);  Encik Sulaiman bin Dato' Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan); Encik Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perusahaan); Encik V.T. Sambanthan (Menteri Kesihatan); Encik Mohamed Khir Johari (Menteri Pelajaran); Encik Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat); Encik Abdul Rahman bin Hj. Taib (Menteri Pengangkutan); Encik Bahaman Samsudin (Menteri Hasil-hasil Bumi); Encik Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian); Encik Sardon Haji Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Telekom); dan  Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Mutlak (Tidak Berjawatan) dan Wakil ke Bangsa-bangsa Bersatu serta Duta ke Washington.

 

Kabinet 1957. Barisan depan dari kiri: Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian), V.T. Sambanthan (Menteri Kesihatan), Dato’ Abdul Razak Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan), YTM Tunku Abdul Rahman Putra (Perdana Menteri), Kolonel Sir Henry Hau Shik Lee (Menteri Kewangan), Sulaiman Dato’ Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan) dan Sardon Haji Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Telekom).
Barisan belakang dari kiri: Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat), Abdul Rahman Talib (Menteri Pengangkutan), Mohamed Khir Johari (Menteri Pelajaran), Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perindustrian) dan Bahaman Shamsuddin (Menteri Hasil-hasil Bumi).