Keretapi Bukit Bendera, Pulau Pinang Keretapi Bukit Bendera, Pulau Pinang

Bukit Bendera, satu kawasan peranginan yang terkenal di Pulau Pinang. Ianya bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong tetapi juga merupakan satu tempat kediaman yang eksklusif bagi para hartawan. Bagaimana pun Bukit Bendera mempunyai sejarahnya yang tersendiri menjadi ia begitu terkenal sehingga hari ini.

Bukit Bendera atau dahulunya dikenali sebagai `Penang Hill' mempunyai ketinggian lebih kurang 830 meter dari paras laut. Bukit Bendera ini telah dibangunkan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh-buruh yang terdiri dari orang salah dari India dan orang-orang tempatan.

Pada tahun 1897 J. Hein dan A. Wilson telah membuat permohonan rasmi kepada J.K. Birch Resident Counselor Pulau Pinang untuk menjalankan perkhidmatan keretapi tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera. Ini kerana memandangkan kesulitan perhubungan untuk ke Bukit Bendera pada masa itu.

Walau bagaimana pun selepas beberapa rundingan, satu rang undang-undang keretapi Bukit Bendera telah digubal dan selepas dibentangkan untuk pembacaan kali ketiga dalam Majlis Mesyuarat Jajahan Negeri Selat di Singapura, Rang Undang-undang ini telah diluluskan pada 21 November 1899.

Untuk itu sebuah syarikat yang diberi nama Syarikat Keretapi Bukit Bendera ditubuhkan oleh Kogan, Heim dan Wilson dengan modal sebanyak $50,000. A. Alan Wilson telah dilantik sebagai Jurutera Perunding dan Charles Paterson telah diberi kontrak untuk membina landasan keretapi itu.

Keretapi yang awal ini mempunyai 2 buah keretapi yang menjalankan perkhidmatan di antara stesen bawah dan di kemuncak Bukit Bendera. Landasan keretapi itu mempunyai tempat berselisih di mana terdapat 4 landasan. Tiap-tiap satu keretapi itu boleh memuatkan 10 orang penumpang dan seorang pengawal keretapi.

Kuasa jentera wap telah digunakan untuk menggerakkan keretapi ini yang mana rumah jentera didirikan di stesen bawah Bukit Bendera. Bagaimana pun ianya kemudian diganti dengan kuasa jentera Roda Pelton yang diputarkan oleh air melalui saluran dari empangan yang dibina di Sungai Air Itam.

Walau bagaimana pun Syarikat Keretapi Bukit Bendera yang awal ini kemudiannya dibubarkan setelah mengalami masalah kerosakan dan kewangan. Namun begitu usaha-usaha awal menjalankan perkhidmatan ini merupakan satu percubaan yang berani ke arah memajukan perhubungan keretapi ini.

Selepas Perang Dunia Pertama, Kerajaan Negeri-negeri Selat telah bercadang untuk membangunkan semula keretapi Bukit Bendera memandangkan ianya lebih menjimatkan berbanding dengan jalan raya. Oleh itu Arnold R. Johnson seorang jurutera tempatan telah dihantar ke Switzerland untuk mempelajari teknik-teknik keretapi funicular yang dijalankan dengan kuasa elektrik. Selepas 2 tahun di Switzerland, beliau kembali ke Pulau Pinang pada tahun 1920 memulakan kerja-kerja membina keretapi yang baru.

Mukasurat: 1  2