KOTA BELANDA, PULAU PANGKOR KOTA BELANDA, PULAU PANGKOR

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari Negeri Perak.  Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung iaitu sebuah perkampungan nelayan pada masa itu.

Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17 Masihi.  Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah.  Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas perdagangan bijih timah di Negeri Perak.  Untuk itu orang-orang Belanda pernah mendirikan loji untuk menyimpan bijih timahnya pada tahun 1651 tetapi telah dimusnahkan oleh para pembesar Perak yang menentang dasar kuasa monopoli Belanda itu.

Berikutan dengan itu pada tahun 1670 satu perintah telah dikeluarkan dari Betawi, Pusat Pentadbiran Syarikat Hindia Timur Belanda supaya didirikan sebuah gedung yang diperbuat daripada kayu guna sebagai tempat simpanan bijih timah.  Dengan itu terbinalah sebuah gedung di suatu tempat strategik iaitu di Kampung Teluk Gedung.  Sepuluh tahun kemudian tembok gedung tersebut telah digantikan dengan batu-bata.

Tindakan Belanda memperkukuhkan gedungnya itu menimbulkan reaksi daripada orang-orang Melayu.  Pada tahun 1690 orang-orang Melayu dibawah pimpinan Panglima Kulup telah membinasakan gedung tersebut.  Serangan ini mengakibatkan ramai daripada orang-orang Belanda terbunuh dan gedung itu telah ditinggalkan.  Bagaimana pun tidak lama selepas itu pihak Belanda datang semula lalu memperbaiki dan mendudukinya semula.

Pada tahun 1743-1748, pihak Belanda telah menempatkan 60 orang askar termasuk 30 orang berbangsa Eropah di gedung ini bagi mengawalnya.  Pada tahun 1784 pula Belanda telah membina sebuah lagi gedung berdekatan dengan Sungai Perak.  Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung lama yang terletak di Pulau Pangkor itu ditinggalkan.  Akibat tiada penjagaan, gedung ini telah mengalami kerosakan sehinggalah pada tahun 1973 apabila pihak Muzium Negara memulihkan kembali gedung ini.  Kota atau gedung yang dibaiki semula ini mengikut bentuk serta ukurannya yang asal iaitu 3 x 5 meter persegi.  Manakala tembok batunya setinggi 6 - 7 meter.  Bagaimana pun bumbungnya tidak dapat dibina kerana bentuk asalnya tidak diketahui oleh pihak Muzium Negara.

Berhampiran dengan Kota Belanda ini terdapat satu Batu Bersurat Belanda. Batu Bersurat ini letaknya di tepi pantai kira-kira 100 meter dari Kota Belanda.  Tulisan pada Batu Bersurat ini dipercayai dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda sewaktu mereka mendiami gedung atau Kota Belanda kira-kira dalam tahun 1743.  Ia juga dipercayai sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut.  Orang-orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.  Sebagai mengingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah membuat batu tersebut dengan menggambarkan seekor binatang buas (dipercayai harimau) sedang menangkap budak.  Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyata secara huruf ringkas seperti IK, R.O. dan lain-lain dan terdapat pahatan bertulis V.O.C. iaitu singkatan nama Verenidge Oon Stindische Company - Syarikat Hindia Timur Belanda.