LEMBAH BUJANG, KEDAH LEMBAH BUJANG, KEDAH

Lembah Bujang adalah merupakan sebuah kawasan yang terkenal pada masa silam malah sejak awal kurun pertama masehi lagi. Faktor perdagangan yang berkembang pesat antara India dan China membantu memajukan kawasan ini yang merupakan laluan pintas melalui jalan air Sungai Merbok ke Kelantan dan ke Laut China Selatan. Kawasan ini juga sebagai tempat persinggahan yang penting bagi saudagar-saudagar India untuk ke negeri China dan sebaliknya.

Gunung Jerai terletak di kawasan ini merupakan pedoman penting bagi kapal-kapal perdagangan yang memasuki Sungai Merbok dalam kawasan Lembah Bujang. Di pinggir gunung yang tertinggi sekali di negeri Kedah ini terdapat banyak air terjun dan tempat-tempat yang sesuai bagi kediaman dan upacara keagamaan. Di sinilah membangunnya Lembah Bujang sebagai sebuah kawasan pusat perkembangan politik dan agama Hindu - Buddha pada masa dahulu.

Rentetan dari urutan peristiwa sejarah itulah Lembah Bujang hingga ke hari ini menjadi salah satu kawasan bersejarah yang penting dan dipelihara. Untuk itu pihak Jabatan Muzium telah berusaha menjalankan penyelidikan arkeologi dan carigali bagi membina semula kesan-kesan sejarah silam itu.

Di antara kesan-kesan sejarah di Lembah Bujang yang merangkumi kawasan seluas 224 km persegi itu ialah candi-candi dan artifak-artifak pemujaan dalam agama Hindu-Buddha. Beberapa buah candi telah dijumpai seperti Candi Pengkalan Bujang, Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pendiat dan lain-lain.

Candi Batu Pahat misalnya dipercayai dibina dalam kurun Ke-6 Masehi. Penemuan ahli-ahli arkeologi menunjukkan candi-candi ini dibina dengan menggunakan batu-batu pejal. Sebanyak 50 buah tapak-tapak candi telah dijumpai di Lembah Bujang. Candi-candi tersebut dianggarkan dibina antara kurun Ke-4 hingga kurun Ke-12 masehi. Untuk memelihara kesan-kesan sejarah ini pihak Jabatan Muzium telah menubuhkan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang dibuka secara rasminya pada 23 Januari 1980 oleh DYMM Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Muzium yang terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok ini dibina untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum Islam dari tapak tanah bersejarah di Lembah Bujang. Kebanyakan di antara tapak-tapak Candi yang ditemui telah dibina semula di dalam kawasan Muzium ini. Candi ini dibina semula dengan batu-batu yang ditemui mengikut bentuk asalnya.

Artifak-artifak yang dipamerkan terdiri daripada bahan-bahan jumpaan semasa aktiviti carigali candi-candi dijalankan. Koleksi artifak yang terdapat di Muzium ini terdiri daripada bahan-bahan dagangan yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab, China, India serta pedagang-pedangang maritim tempatan di Kepulauan Melayu seperti seramik, manik-manik kaca dan rempah ratus.

Pengekalan kawasan Lembah Bujang ini penting dari sudut sejarah kebudayaan negeri Kedah Darul aman dan juga memberi peluang kepada para penyelidik mengkaji perihal berkaitan dengan perdagangan dan peradaban manusia pra Islam di Semanjung Malaysia