MASJID UBUDIAH MASJID UBUDIAH

Masjid Ubudiah yang terletak di bandar Kuala Kangsar, Perak merupakan di antara sebuah masjid yang terindah di zamannya dan juga sekarang. Masjid ini dibina di atas titah Sultan Idris Mursyidul Azam Shah, Sultan Perak Ke- 28, kerana menunaikan nazar baginda.

Masjid yang mempunyai pengaruh seni bina `Saracenic' (Islam-India) ini telah direka bentuk oleh A.B. Hubback, seorang arkitek kerajaan. Sementara kerja-kerja perlaksanaannya telah diletakkan di bawah kelolaan Caufield, Ketua Jurutera Negeri Perak. Pada 26 September 1913, satu upacara perletakan batu asas bagi masjid ini telah diadakan. Sultan Idris telah menyempurnakan majlis ini, yang turut dihadiri oleh Sir Arthur Young, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan pembesar-pembesar lain.

Bangunan masjid ini mempunyai bentuk segi lapan, dan ukuran keseluruhan segi lapan ini adalah 96 kaki mengikut garis pusatnya, di mana kawasan masjid sebenar meliputi 60 kaki. Kedudukan mihrab masjid ini terletak di bahagian di barat lautnya sementara di bahagian timur lautnya ditempatkan tangki air dan pancutan air untuk kegunaan mengambil air sembahyang. Kawasan ini juga berbentuk segi lapan yang mempunyai garis pusat 30 kaki. Di samping itu, di bahagian tenggara dan barat daya masjid ini disediakan serambi seluas 27 kaki persegi. Keseluruhan bangunan masjid ini dikelilingi oleh dinding berhias sepanjang 135 kaki bermula dari pada tengah bangunan dengan dua pintu masuk dan pintu pagar. Oleh kerana rekabentuknya dipengaruhi oleh seni bina Islam-India maka terdapat banyak kubah-kubah, minaret-minaret dan `arch'. Pembinaan masjid ini pada keseluruhannya menggunakan batu-bata konkrit.

Pada bahagian dalam masjid ini, ia ditutupi dengan kubah yang bergaris pusat 60 kaki, ketinggian 140 kaki dan dikelilingi oleh 4 minaret setinggi 126 kaki. Ia juga dilengkapi dengan tangga bagi memudahkan kegunaan masjid. Di samping itu, terdapat dua buah kubah yang dipasang pada bahagian serambi luar, bilik air dan mihrab dengan minaret-minaret kecil di setiap penjuru dua segi lapan masjid ini. Selain itu, terdapat juga tangga marmar di antara bilik air dan bangunan utama masjid bagi menghubungkan minaret-minaret yang ada. Bagi lantai masjid pula, ia dibina 4 kaki lebih tinggi dari tanah dengan tangga marmar di sekelilingnya.

Bagi mencantikkan lagi masjid ini, batu marmar yang diimport dari Itali telah digunakan. Lantai bagi bahagian dalaman masjid, serambi, bilik air dan tangga menggunakan marmar putih dengan marmar hitam pada sibar-sibarnya. Sementara marmar merah telah digunakan di bahagian luar serambi, tangga dan bilik air. Walau bagaimanapun pembinaanya pernah tergendala beberapa ketika kerana kelewatan tibanya batu-bata marmar yang diimport dari Itali disebabkan Perang Dunia Pertama.

Meskipun begitu, masjid yang indah sekali di Perak ini telah siap dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah, setahun setelah Sultan Idris mangkat. Kos pembinaan masjid ini adalah sebanyak $24,000. Selain menjadi mercu tanda bagi Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah ini juga adalah payung iman bagi Bukit Chandan dan masyarakatnya.