Ruang pameran di sini terbahagi kepada 3 aras iaitu bermula di Aras 3 dengan pengenalan kepada Kompleks Integrasi yang mengandungi maklumat mengenai sejarah awal Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Fungsi dan Objektif Memorial Tun Hussein Onn dan maklumat mengenai Perdana Menteri yang pernah bertugas di pejabat ini. Aras ini juga menumpukan kepada penglibatan awal Tun Hussein Onn dalam arena politik dan era kecemerlangan beliau sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Di aras ini juga terdapat replika Pejabat Tun Hussein Onn ketika menjadi Perdana Menteri di mana susunan bilik ini dikekalkan sepertimana asal. Aras ini diakhiri dengan pameran anugerah dan penghargaan yang diterima di atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara. Pameran Aras 2 dimulakan dengan memperkenalkan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn yang memperlihatkan darah nasionalisme yang mengalir di kalangan anggota keluarganya bermula dari zaman datuknya, Dato' Jaafar Muhammad yang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Johor pertama, diikuti peranan dan sumbangan besar yang dimainkan oleh bapanya sendiri, Dato' Onn bin Jaafar. Secara sepintas lalu diperkenalkan juga kepada beberapa tokoh dari keluarga Tun Hussein Onn yang turut sama terlibat dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor. Pengunjung juga diperkenalkan dengan lebih dekat riwayat hidup Tun Hussein Onn semasa di zaman kanak-kanak, alam persekolahan hingga kepada kerjaya yang pernah diceburi oleh beliau sebelum mula bergiat aktif dalam arena politik. Diakhir lawatan ini pengunjung dibawa mengenali peranan dan sumbangan Tun Suhailah sebagai wanita pertama dan isteri kepada Tun Hussein Onn. |