
Memorial Tun Abdul Razak, telah dirasmikan oleh Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 6 Mei 1982. Bangunan memorial ini pada asalnya adalah Bangunan Sri Taman iaitu kediaman rasmi Tun Abdul Razak dari tahun 1962 sehingga beliau meninggal dunia pada bulan Januari 1976. Bangunan ini telah dijadikan Memorial Tun Abdul Razak bagi memperingati jasa dan sumbangan beliau terhadap bangsa dan negara.
Memorial ini mempamerkan bahan-bahan kepunyaan Tun Abdul Razak sendiri dan juga bahan-bahan yang ada kaitan dengan beliau yang lebih dikenali sebagai "Bapa Pembangunan" dan juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke 2 (1970 – 1976).