Tanggal 25 Oktober 2009 berakhirnya program Kem 1 Malaysia bagi tahun 2009 peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung perasmian penutupnya di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Majlis penutup ini dirasmikan oleh En. Sulaiman Wak, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Turut hadir YBhg Dato’ Hj. Sidek Hj. Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia; Pn. Hjh. Daresah Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) dan En. Azemi Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Arkib Negarawan.
Sebelum acara penutup ini, pada sebelah petangnya telah diadakan lawatan ke Memorial Tun Abdul Razak. Program yang sangat bermakna ini adalah bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotik di kalangan generasi muda dengan mendedahkan tokoh pejuang kemerdekaan tanah air. Aktiviti-aktiviti berkumpulan yang memerlukan semangat bekerjasama ini disertai oleh 270 orang pelajar yang berbilang kaum. Program ini melibatkan penyertaan daripada 100 buah sekolah rendah peringkat daerah Bangsar/Pudu, Kuala Lumpur dan dikendalikan oleh Seksyen Pengurusan Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia.
Pada sebelah malamnya pula, bertempat di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, majlis penutup ini diserikan dengan persembahan tarian oleh para peserta kem itu sendiri yang mempersembahkan tarian Melayu, Cina dan India. Dengan semangat kerjasama dan yakin boleh, para pelajar ini dapat mempersembahankan tarian yang dipelajari dalam tempoh program tersebut berlangsung. Semoga aspirasi 1Malaysia akan terus terpahat disanubari anak-anak genarasi muda bagi memastikan negara ini terus kekal aman damai dan maju jaya.