MUZIUM NEGERI PERAK MUZIUM NEGERI PERAK

Muzium Perak, Taiping adalah muzium yang tertua sekali di Semenanjung Malaysia. Penubuhannya pada tahun 1883, diasaskan oleh Inggeris dan mulai dari tarikh ini bangunan muzium telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1886. Namun begitu kerja-kerja pembesaran bangunan muzium ini sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa secara berperingkat-peringkat sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1903.

Pembinaan Muzium Perak ini adalah di atas daya usaha Sir Hugh Low (Residen British) yang telah mengarahkan Leonard Wray Junior, Penguasa kebun bunga di Larut mengumpulkan bahan-bahan untuk ditempatkan di muzium yang dicadangkan akan didirikan di Negeri Perak pada tahun 1883. Setelah tertubuhnya muzium ini, Leonard Wray Junior telah dilantik sebagai Kurator pertama Muzium Perak. Pada ketika itu Muzium Perak berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Usaha-usaha Sir Hugh Low mendirikan muzium ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan bahan-bahan yang dapat menggambarkan warisan sejarah dan budaya masyarakat pribumi di Semenanjung Tanah Melayu pada waktu itu. Bahan-bahan yang dikumpul serta dipamerkan adalah berhubung dengan etnologi dan antropologi tempatan. Pada ketika itu terdapat balai-balai Zoologi, Herbazium, Pra-sejarah, Ekonomi serta Ethonologi.

Hingga kini bangunan muzium yang tertua di Semenanjung Tanah Melayu itu tetap kukuh mempamerkan bahan-bahan sejarah dan kebudayaan. Ianya mempunyai empat buah balai pameran utama, sebuah pejabat serta perpustakaan. Balai-balai tersebut ialah Balai Diraja, Balai Ilmu Kejadian, Balai Kebudayaan dan Balai Ornag Asli dan Seramik.

Sejarah perkembangan dan pembinaan bangunan Muzium Perak bermula pada 1883 dengan pembinaan bangunan utamanya dan bentuk ini berkekalan sehingga tahun 1886. Serambi hadapan dan belakang pula telah di tambah pada tahun 1889 dan diikuti dengan tambahan ruang di sebelah barat pada 1891. Pada tahun 1900 bangunan ini ditambah menjadi bangunan dua tingkat bagi memenuhi keperluan ruang untuk bahan-bahan pameran yang kian bertambah. Pada tahun 1979 pula satu lagi tambahan ruang dibuat di Muzium Perak ini iaitu balai hadapan, sementara balai sejarah Negeri Perak pula dibina pada bulan Mei 1981. Ini memberikan ruang kepada pameran sejarah negeri Perak khususnya di balai sejarahnya. Sehingga kini terdapat lebih 5,000 bahan di Muzium Perak termasuk spesimen binatang, bahan-bahan kebudayaan orang Melayu dan Orang Asli, seramik dan sebagainya.

Sebagai sebuah muzium yang tertua banyak koleksi pameran yang telah dapat dikumpulkan di sini. Dari tahun 1889 muzium ini telah dapat mengumpulkan koleksi kira-kira 127 ekor binatang, 5 rangka binatang, 637 ekor burung, 117 jenis ikan dan 15 ekor reptilia dan telah didingin bekukan. Bahagian herbarium pula mengandungi kira-kira 500 batang pokok dan pada bahagian etnologi terdapat kira-kira 412 barangan serta 107 barang batu bagi bahagian arkeologi.

Muzium Perak kini masih tegak kukuh berdiri tersimpan dan terpamer tinggalan-tinggalan dan warisan kebudayaan penduduk Tanah Melayu serta alam sekitarnya untuk tatapan generasi akan datang.