Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor

Pada malam 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor, dibanjiri oleh ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelosok tanah air untuk menyaksikan detik bersejarah negara. Pada jam 11.58 malam, kereta yang dinaiki oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan diiringi oleh 30 buah motorsikal yang ditunggang oleh Pemuda Perikatan tiba di perkarangan padang. Lampu di kawasan tersebut kemudiannya dipadamkan dan dinyalakan semula pada tepat jam 12 malam. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan sebagai simbol berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bendera ini dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu kebangsaan ‘Negaraku’ yang diperdengarkan buat pertama kalinya dan diikuti dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.

 

Upacara menurunkan Bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor pada 30 Ogos 1957.