PEJABAT KERAJAAN KUALA LIPIS, PAHANG PEJABAT KERAJAAN KUALA LIPIS, PAHANG

Kuala Lipis merupakan salah sebuah bandar yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah negeri Pahang antaranya sebagai pusat pentadbiran Negeri Pahang yang terawal ditubuhkan sebelum dipindahkan ke Kuantan, Pahang.

Mulai dari tahun 1898, Kuala Lipis telah dijadikan ibu negeri Pahang bagi menggantikan Pekan. Setelah menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang, Kuala Lipis membangun dengan pesat. Pusat-pusat pentadbiran seperti Bangunan Pentadbiran, Bangunan Residensi, Mahkamah dibina di Kuala Lipis. Bangunan Pejabat Daerah yang juga dikenali sebagai Bangunan Pentadbiran pada masa dahulu, kini masih tersergam indah di atas sebuah bukit di bandar Kuala Lipis dengan seni binanya yang unik.

Bangunan utama Pentadbiran dan Kompleks Pejabat Kerajaan di sebelahnya dibina dalam dua peringkat. Pada peringkat pertama, bangunan pentadbiran dibina dan telah siap pada tahun 1919. Bangunan dua tingkat inilah menjadi pusat pentadbiran utama negeri Pahang pada ketika itu, yang menempatkan Pejabat Residen British serta para pegawai tadbir negeri Pahang di tingkat atas. Manakala di tingkat bawahnya pula dijadikan sebagai pejabat mengutip hasil negeri dan perbendaharaan Kerajaan.

Peringkat kedua pembinaan bangunan kompleks pejabat Kerajaan ini merupakan tambahan kepada bangunan asal yang siap sepenuhnya pada tahun 1926. Bangunan ini menempatkan Mahkamah Daerah Kuala Lipis serta Bank Perdagangan Inggeris, Mercantile Bank pada ketika itu.

Oleh kerana kedudukan Kuala Lipis pada ketika itu sebagai daerah yang terbesar di negeri Pahang, meliputi kawasan Jerantut sekarang, maka wajarlah bandar ini mempunyai sebuah kompleks pejabat yang lengkap bagi mengendalikan pentadbiran. Ini ditambah pula dengan kerancakan pembangunan ekonomi negeri Pahang pada masa itu yang kaya dengan hasil-hasil buminya seperti bijih besi, emas serta hasil-hasil hutan dan getah.

Pada tahun 1952, sewaktu negara sedang menuju ke arah era kemerdekaan, pentadbiran negeri Pahang telah mewujudkan jawatan Menteri Besar sebagai Ketua Pentadbir Negeri. Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditubuhkan itu juga ditempatkan di bangunan ini. Antara tokoh yang pernah berkhidmat pada ketika itu ialah Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Orang Kaya Shahbandar negeri Pahang yang menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun 1952.

Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang sekali lagi dipindahkan dan kali ini dari Kuala Lipis ke Kuantan. Dengan pemindahan itu bangunan pentadbiran ini telah dijadikan pejabat Daerah Kuala Lipis hinggalah sekarang. Kini bangunan pentadbiran ini masih lagi tersergam indah walaupun telah melalui jarak masa yang begitu panjang, namun keutuhan dan keunikan seni binanya tetap terpelihara sebagai warisan sejarah silam.