PERSADA KEGEMILANGAAN BAHASA MELAYU PERSADA KEGEMILANGAAN BAHASA MELAYU

Berapa ramaikah di antara kita yang tahu bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang penting di rantau Kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Ia bukan sahaja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini malah ia juga pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad yang lalu.

Jika dibaca penulisan oleh para pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar, asal-usul dan perkembangan bahasa Melayu sememangnya menawarkan satu tajuk kajian dan perbincangan yang amat menarik. Ini kerana ia berkait rapat bukan sahaja dengan asal-usul bangsa Melayu, tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di dunia ini. Bahasa sebagai alat perhubungan dan komunikasi utama antara manusia amat berkait rapat dengan sejarah dan ketamadunan manusia itu sendiri.

Sejak abad ke-2M lagi, bahasa Melayu purba dikatakan telah pun wujud iaitu di Champa, Vietnam. Pada abad ke-4M, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam serta beberapa prasasti lagi yang ditemui di abad ke-7M di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan.

Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu dengan bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab membawa tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti di antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit-kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.

Bermula awal abad ke-19, orang-orang barat datang membawa bersama pengaruh bahasa luar dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Penerbitan pusat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura, menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9