Perutusan Ketua Pengarah Perutusan Ketua Pengarah

  

 

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Arkib Negara Malaysia (ANM) sebagai sebuah agensi yang berperanan sebagai repositori data, maklumat dan rekod kerajaan bertanggungjawab mengumpul, memelihara dan menyediakan rekod-rekod awam dalam pelbagai jenis dan bentuk untuk dirujuk oleh penyelidik dan orang ramai. Selaras dengan perkembangan dan persekitaran teknologi semasa serta Dasar Transformasi Kerajaan, adalah menjadi azam ANM untuk memupuk kesedaran meluas di kalangan rakyat dalam segenap aspek sekali gus menjana kepada pembentukan modal insan cemerlang melalui penyebaran maklumat tanpa mengira sempadan masa dan tempat.

Melalui portal ini, diharap ianya akan menjadi salah satu wadah perkongsian maklumat sejarah negara yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia bagi tatapan orang ramai. Bagi memenuhi keperluan masyarakat dengna lebih meluas dan cepat, ANM sedang menjalankan pendigitalan bahan-bahan dalam koleksi Jabatan bagi membolehkan bahan-bahan ini terus boleh dicapai secara dalam talian di samping bahan asal dapat dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Kandungan portal ini akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa agar menjadi portal bermaklumat yang dapat merangsang minda kita semua. Diharap perkongsian maklumat secara maya ini akan dapat melahirkan masyarakat yang tidak hanya berilmu tetapi juga celik mengenai sejarah negaranya. Sejarah perlu dihayati bersama agar rakyat Malaysia dapat bersatu padu di bawah panji Gagasan 1Malaysia.

Terima kasih saya ucapkan kerana mengunjungi portal ini. Kami mengalu-alukan sebarang komen dan pandangan anda bagi menambahbaik perkhidmatan kami ke arah merealisasikan visi Arkib Negara Malaysia iaitu Menjadi Pusat Arkib dan Penyelidikan Negara Yang Unggul.

Selamat melayari portal ini dan meneroka khazanah warisan negara.
 

Azemi Bin Abdul Aziz
Ketua Pengarah

Arkib Negara Malaysia