Pintu Kota, Istana Balai Besar, K.Bharu Pintu Kota, Istana Balai Besar, K.Bharu

Bandar Kota Bharu memang tidak dapat dipisahkan dari Istana Balai Besar.  Malah kelahiran bandar dan istana ini adalah pada masa yang sama iaitu pada tahun 1844.  Bandar Kota Bharu dibangunkan oleh Sultan Muhammad II sebagai ibu negeri dan pusat pentadbiran yang baru, menggantikan Kota Lama.

Manakala Istana Balai Besar yang didirikan oleh baginda sebagai menggantikan Istana Kota Lama yang menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Kelantan terdahulu.  Istana ini menjadi tempat bersemayam beberapa orang Sultan Kelantan iaitu bermula dari Sultan Muhamad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891) dan Sultan Muhammad IV.

Istana Balai Besar juga menjadi tempat berlangsungnya segala upacara rasmi dan adat istiadat diraja dari tahun 1845 sehinggalah sekarang.

Setelah istana ini siap dibina pada tahun 1845, upacara pertama sekali yang diadakan adalah Istiadat Menyambut Surat Sejabat atau pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhamad II.

Surat tersebut mengesahkan bahawa Tuan Long Senik bin Long Tan sebagai Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhamad II diiktiraf oleh Raja Maha Besar Siam yang mejadi penaung Kelantan.  Siam juga memberi gelaran kepada Sultan Muhamad II sebagai 'Pia Lecha Kelantan'.

Sepanjang Istana ini menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Kelantan, beberapa tambahan telah dilakukan pada Istana Balai Besar seperti pada bahagian hadapan dan balai penghadapan iaitu pada masa pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail.  Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan bentuk asal reka bentuk Istana yang unik ini.

Istana Balai Besar dibina oleh tukang yang mahir di Kelantan pada waktu itu.  Ia diketuai oleh Muhamad Salleh seorang tukang yang berasal daripada Terengganu dan menetap di Kampung Kangkong, dalam jajahan Pasir Mas.  Beliau satu-satunya orang yang mahir dalam pertukangan dan membuat ukiran pada masa itu.

Istana dua tingkat ini menjadi tempat berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan lain-lain.  Ia juga merupakan suatu institusi yang mengekalkan sumber adat resam Melayu.  Di ruang dalam istana ini terdapat singgahsana tempat bersemayam, Dewan Penghadapan dan tempat persandingan.

Walaupun Istana Balai Besar tidak lagi menjadi kediaman Sultan-sultan Kelantan selepas Sultan Muhamad IV, tetapi istana ini tetap dijadikan istana rasmi bagi segala upacara dan adat istiadat diraja sehingga ke hari ini.

Berhampiran Istana Balai Besar terdapat sebuah bangunan lama yang juga ada kaitan dengan istana  tersebut.  Bangunan ini dikenali dengan Rumah Membuat Bunga Emas.  Rumah ini dijadikan sebagai tempat membuat bunga emas iaitu hadiah kepada Kerajaan Siam setiap tiga tahun sekali sebagai tanda persahabatan pada zaman dahulu.

Mukasurat: 1  2