Puan Halimah Mohd. Taib Puan Halimah Mohd. Taib

Puan Halimah Mohd. Taib telah dilahirkan pada 24 Jun 1936 di Selangor. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Malay Girl College, Kuala Lumpur 1947-1952 dan kemudian menyambung pelajaran ke Government English School di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1953 hingga 1955 dan sehingga lulus School Certificate.

Setelah tamat persekolahan Puan Halimah mula bekerja di Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur sebagai Pegawai Penerangan Luar dari tahun 1956-1960. Tugas ini telah mendedahkan beliau dengan keadaan masyarakat kampung yang serba kekurangan terutama di awal tahun 1950-an. Pengalaman yang diperolehi dari tugas ini membuatkan minat beliau terhadap kerja-kerja kebajikan lebih mendalam. Pada tahun 1965, beliau bertugas sebagai Pembantu Skrip Televisyen dan setahun kemudian terpaksa berhenti untuk mengikut suami bertugas di luar negara.

Puan Halimah menceburkan diri dalam kegiatan Pandu Puteri dari tahun 1948 iaitu sejak di bangku sekolah lagi. Beliau kemudian terus menjadi ahli sehingga sekarang. Semasa berpindah ke Kuala Lumpur beliau telah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Senior. Semasa berada di luar negara selama 14 tahun Puan Halimah tidak pernah sunyi dari kerja-kerja yang diminatinya ini. Beliau telah turut sama dalam gerakan Pandu Puteri  di negara-negara di mana suaminya bertugas iaitu di Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Amerika Syarikat dan Jerman. Pengalaman yang diperolehi amat berguna untuk disesuaikan dengan pergerakan Pandu Puteri negara kita. Beliau pulang ke tanah air pada 1979 dan kembali cergas dalam Pandu Puteri Malaysia.

Puan Halimah memegang beberapa jawatan dalam Pandu Puteri sehinggalah beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Tinggi Pandu Puteri Malaysia pada tahun 1993. Beliau juga adalah wakil Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Antarabangsa dari tahun 1984 hingga sekarang.

Selain dari itu, beliau juga aktif dalam beberapa pertubuhan lagi. Antara pertubuhan  tersebut termasuklah ahli Women’s Institute dari 1950 hingga 1960, wakil persatuan ke Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Belia Malaysia, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Melayu Negeri Sembilan, Jawatankuasa Persatuan Bekas-bekas Anggota Jabatan Penerangan dan aktif dalam Persatuan Badminton.

Sepanjang penglibatan beliau dengan Pandu Puteri Puan Halimah telah mewakili negara dalam persidangan, seminar, mesyuarat dan mengadakan latihan-latihan Pandu Puteri ke negara-negara yang memerlukan. Antara negara-negara tersebut termasuklah Canada, Mexico, Brunei, New York, Bangkok dan beberapa negara lain. Puan Halimah adalah seorang Jurulatih Pandu Puteri yang bertauliah, beliau juga telah dilantik sebagai jurulatih dalam Asia-Pacific Training Pool pada 1990. Selain dari itu, pada 1991 beliau dilantik sebagai wakil WAGGGS (World Association of Girl Guide and Girl Scout) menilai Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darul salam untuk Ahli Bersekutu.

Segala sumbangan tenaga dan masa yang diberikan oleh Puan Halimah tidak pernah dilupakan. Beliau telah dianugerahkan pingat A.M.N (1993) oleh Yang di-Pertua Agong dan P.J.K (1993) oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Selain dari itu di dalam Pandu Puteri pula beliau menerima beberapa pingat iaitu ‘Pingat Tanggok Padi’, ‘Agok Bakti Lebah’ dan ‘Anugerah Tertinggi Layang-layang’.

Siri Pengkisahan Sejarah Persatuan Pandu Puteri Malaysia
29 Mac 1997
Arkib Negara Malaysia.