Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan 1986 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan 1986

Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-29 pada tahun 1986, disambut dengan penuh meriah. Pelbagai acara sambutan diadakan dengan kemuncaknya ialah perarakan raksasa di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1986. Sambutan yang bertemakan BANGSA TEGAS NEGARA TEGUH ini disertai oleh 20,000 orang peserta. Buat pertama kalinya, wira-wira negara yang telah dianugerahkan dengan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Seri Pahlawan Gagah Berani serta polis khas ’Special Constable’ yang ditubuhkan ketika darurat menyertai perarakan. Menariknya juga, persembahan lintas hormat udara telah diserikan dengan pertunjukan oleh pasukan pesawat aerobatik DC-7, Tentera Udara Diraja Malaysia. Aksi spontan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail turun dari pentas diraja dan menunggang motosikal jenis Kawasaki GPZ 600 bersama-sama dengan 100 orang belia yang menyertai perarakan telah mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-PertuanAgong, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail (berpakaian putih) secara spontan turun dari pentas diraja menunggang motorsikal jenis Kawasaki GPZ 600 bersama-sama 100 orang belia yang menyertai perarakan Hari Kebangsaan yang ke-29 pada 31 Ogos 1986 di Padang Kelab Selangor.