Datuk Syed Ahmad Bin Syed Jamal Datuk Syed Ahmad Bin Syed Jamal

Datuk Syed Ahmad Bin Syed Jamal

  Seniman Negara ini berasal dari Muar, Johor dan dilahirkan pada 19 September 1929. Datuk Syed Ahmad bin Syed Jamal mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah, Johor Bharu dari tahun 1936-1938 sebelum berpindah ke Sekolah Tambatan Tinggi, Johor Bharu pada tahun 1939. Pada tahun 1940 beliau melanjutkan pelajaran ke Ngee Heng English School dan seterusnya ke Bukit Zahrah English School, Johor Bharu pada tahun 1941. Dari tahun 1945 hingga tahun 1949 beliau melanjutkan pelajarannya ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College), Johor Bahru. Beliau memulakan pendidikan tingginya di Birmingham School of Architecture dari tahun 1950-1951 dan kemudiaannya dari tahun 1951-1955 beliau melanjutkan pelajarannya ke Chelsea School of Art, London. Pada tahun 1955-1956 beliau meneruskan pengajian di Institut of Education, University of London bagi mengambil sijil pengajaran dalam bidang seni. Beliau juga melanjutkan pelajaran ke School of Art Institute of Chicago Illinois, Amerika Syarikat pada tahun 1963-1964 dan pada tahun 1973-1975 beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana di University of Hawaii dalam bidang seni.

   Beliau memulakan kariernya sebagai seorang guru di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor pada tahun 1956 hingga 1957. Kemudian beliau ditugaskan di Institut Latihan Guru di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah bertugas di Kementerian Pendidikan di Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran dan dilantik sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dari tahun 1979 hingga 1982. Beliau juga pernah bertugas sebagai pensyarah di Malayan Teachers Training College, Kirkby, England dari tahun 1958-1959.

   Datuk Syed Ahmad Jamal merupakan di antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991. Beliau merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini. Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan hasil-hasil karya beliau untuk tatapan umum. Di antara tema pameran beliau ialah "Antara Langit & Bumi", "Ruang" dan "On & Off King's Road'.