Tan Sri Dato' Mohd Khir Johari Tan Sri Dato' Mohd Khir Johari

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah - Tan Sri Dato' Mohd Khir Johari

   Tan Sri Dato’ Mohd Khir Johari dilahirkan pada 29 Januari 1923 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah. Penglibatan Tan Sri dalam politik bermula sejak tahun 1946 sebagai Setiausaha Agong SABERKAS dan sebagai Setiausaha Agong UMNO pada tahun 1954 selama setahun dan dilantik buat kali kedua pada 1966 sehingga Mei 1969.

  Jawatan Tan Sri dalam Kabinet bermula apabila beliau menang dalam Pilihanraya Persekutuan bagi kawasan Kedah Tengah pada tahun 1955 dan dilantik sebagai Menteri Muda Hal Ehwal Ekonomi pada tahun 1956, Menteri Pelajaran dalam tahun 1957 yang bertanggungjawab melaksanakan Undang-undang Pelajaran 1957.

  Dalam Pilihanraya Parlimen 1959, beliau sekali lagi dipilih mewakili kawasan Kedah Tengah dan dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan pada tahun 1960. Kemudiannya, sebagai Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama dari tahun 1962 - 1964. Dalam rombakan Kabinet pada bulan Februari 1965, Tan Sri sekali lagi dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan pada tahun 1969, Tan Sri dilantik kembali sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan menjadikan jumlah selama 8 tahun Tan Sri di Kementerian tersebut.

  Dalam kesibukan beliau menjalankan tugas, Tan Sri turut menghadiri persidangan-persidangan di luar negara antaranya mengetuai rombongan Malaya ke Persidangan UNESCO di Paris tahun 1958 serta rombongan perdagangan ke Republik Arab Bersatu tahun 1962. Pada April 1963, Tan Sri menghadiri persidangan Menteri-menteri Luar Asia di Manila dan pada tahun yang sama juga, beliau menghadiri Persidangan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Semula Kawasan Luar Benua Afro-Asia di New Delhi serta banyak lagi persidangan yang dihadiri sehingga tamat perkhidmatan beliau dengan kerajaan. Tan Sri dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan pada masa yang sama mewakili Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Februari 1973.

  Sekembalinya Tan Sri dari Amerika Syarikat pada tahun 1976, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga tahun 1982, sebelum menceburkan diri dalam banyak aktiviti perniagaan. Dalam tempoh tersebut sehingga tahun 1992, Tan Sri memegang jawatan Pengerusi dan Pengarah di pelbagai syarikat awam serta syarikat-syarikat kewangan dan perdagangan.

  Manakala dalam aktiviti-aktiviti sosial Tan Sri adalah penaung kepada banyak persatuan dan pertubuhan baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Dalam bidang sukan, Tan Sri sudah lama dikenali sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia yang dipegang selama 25 tahun, Presiden Persatuan Sepak takraw Malaysia dan sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia.

  Di atas sumbangan dan perkhidmatan Tan Sri kepada negara dan masyarakat, beliau telah dianugerahkan pingat antaranya, pingat Panglima Mangku Negara (P.M.N) pada tahun 1986 yang membawa gelaran Tan Sri di samping darjah kebesaran dari negara-negara Thailand, Korea dan Jepun. Pada tahun 1987, Tan Sri dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Pertanian Malaysia, sebelumnya beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan dan Sains dari La Salle College, Manila, Filipina. Pada bulan Mac 1992, Tan Sri sekali lagi dianugerahkan dengan Pingat Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah - Tan Sri Dato' Mohd Khir Johari
10 Oktober 1992
Arkib Negara Malaysia