Tan Sri Haji Dol Ramli Tan Sri Haji Dol Ramli

  Tokoh penyiaran ini dilahirkan pada 3 Oktober 1922 di Dunlop Street, Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Kampung Glam Malay School, Singapura (1929-1932) sebelum menyambung pengajian peringkat menengah di Rangoon Road Government English School, Singapura (1933-1936) dan Raffles Institution, Singapura (1937-1940). Beliau seterusnya mendapat pendidikan tinggi di Raffles College, Singapura pada tahun 1941 dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (kelas dua tinggi dalam sejarah) di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1955.

  Setelah menamatkan pengajian, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Perkhidmatan Melayu, Radio Malaya dan seterusnya pada tahun 1961 menjadi orang Melayu yang pertama mengetuai Radio Malaya. Pada tahun 1969, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar BERNAMA pada 1 Januari 1975 hingga 31 Oktober 1980.

  Setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, Dol Ramli melibatkan diri dalam sektor korporat dan menjadi Pengarah, Kumpulan Public Affairs of United Motor Works (M) Holdings Bhd. (1980-1989), Pengerusi AMIC (Malaysia) Sdn. Bhd. (1996), Ahli Lembaga Pengarah, PADUBUMI Sdn. Bhd. (1997) dan ‘Independent Non-Executive’, INTI Universal Bhd. (INTI College).

  Penggubah lirik dan muzik lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ ini juga terlibat dalam badan sukarela, pertubuhan, persatuan dan sebagainya. Antaranya, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Malaysian Press Institute, dilantik oleh DYMM Yang DiPertuan Agong sebagai Ahli Majlis Universiti Malaya, Timbalan Pengerusi Majlis Universiti Malaya (1980), Presiden, Persatuan Komunikasi Malaysia (1983), Timbalan Pengerusi, Persatuan Sejarah Malaysia (1991) dan sebagainya.

  Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada bangsa dan negara, pelbagai anugerah dan pingat telah diberikan sama ada oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 1966, beliau telah dianugerahkan pingat Johan Mangku Negara (JMN) oleh Kerajaan Persekutuan, pingat SMS oleh Kerajaan Negeri Selangor (1985), pingat JP oleh Kerajaan Negeri Kelantan (1986), Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Dato’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Kerajaan Persekutuan (2005). Dol Ramli turut dianugerahkan ‘Order of Sikatuna’ oleh Kerajaan Filipina (1962), ‘Honorary Councillor’ oleh Asia Pacific Broadcasting Union (1982), Anugerah Wartawan Cemerlang Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (2000) dan Anugerah Tokoh Penyiaran semasa Festival Filem Malaysia ke 15 pada tahun 2001 dan Anugerah Seri Angkasa 2005 pada tahun 2006.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Media Massa ‘Media-Pemangkin Kemerdekaan’
16 Ogos 2007
Arkib Negara Malaysia