Tan Sri Sulaiman Ninam Shah Tan Sri Sulaiman Ninam Shah

   Tan Sri Sulaiman Ninam Shah telah dilahirkan di Muar, Johor pada 2 Januari 1920. Beliau bergiat aktif di dalam UMNO semenjak tahun 1946 lagi. Tan Sri Sulaiman banyak memainkan peranan menegakkan UMNO dan perjuangannya sebagai sebuah parti yang mewakili orang Melayu.

 Selepas Perang Dunia Kedua, Kerajaan British telah kembali ke Malaya dengan azam baru untuk menubuhkan Malayan Union. Pada pendapat mereka orang Melayu akan menerima cadangan tersebut tanpa banyak soal. Sebaliknya mereka telah dikejutkan dengan satu penentangan terbuka secara besar-besaran oleh rakyat negara ini. Tan Sri Sulaiman adalah antara pemimpin yang turut dipilih untuk mewakili Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru untuk menghadap Sultan Johor bagi membantah perjanjian dengan Mac Michael.

  Sepanjang penglibatan beliau dalam politik dan UMNO khasnya, Tan Sri Sulaiman pernah mewakili rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Johor, Exco Kerajaan Negeri Johor dan juga sebagai Pengerusi Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Jawatan-jawatan ini dipegang oleh beliau dari 1954 hingga 1964.

  Pada tahun 1979, Tan Sri Sulaiman telah dilantik sebagai senator hinggalah ke tahun 1985. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara antara tahun 1984 hingga 1985. Tan Sri Sulaiman telah menyertai UMNO sejak dari penubuhannya pada tahun 1946. Beliau merupakan antara tokoh yang begitu lama dalam pergerakan ini. Beliau sudah melihat perkembangan UMNO dari zaman Dato’ Onn hinggalah ke hari ini (1996).

 Selain dari bergiat aktif sebagai ahli UMNO, Tan Sri Sulaiman juga pernah memegang beberapa jawatan dalam beberapa buah badan berkanun, termasuklah sebagai Pengerusi Bank rakyat, Pengarah Bank Bumiputera Malaysia Berhad, Pengarah Pernas M.I.S.C, Pengarah Pernas Trading dan Pengarah MARA. Pada hari ini (1996) walaupun sudah berusia 76 tahun Tan Sri masih lagi memegang beberapa jawatan penting, antaranya Pengerusi Syarikat Perniagaan Perusahaan Melayu Muar, Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Johor dan Dana Johor.

  Sebagai orang lama dalam UMNO dan Kerajaan, Tan Sri Sulaiman telah banyak menaburkan jasa dan baktinya kepada masyarakat, bangsa, dan negara. Beliau telah dianugerahkan beberapa bintang kebesaran oleh Kerajaan iaitu Johan Mangku Negara (J.M.N), Panglima Setia Mahkota (P.S.M) dan Panglima Mangku Negara (P.M.N.). Selain dari itu, Tan Sri Sulaiman juga telah mendapat penghargaan daripada Kerajaan negeri Johor iaitu P.I.S., B.S.I., S.M.J., D.P.M.J., S.P.M.J., dan S.S.I.J. Sepanjang penglibatan beliau dengan UMNO, Tan Sri Sulaiman sentiasa diberi kepercayaan oleh ahli-ahli sebagai Timbalan dan selepas itu sebagai Pengerusi Tetap UMNO selama 20 tahun dari tahun 1975 hingga 1995.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah Perjuangan UMNO
23 Mei 1996
Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia