LAMAN KENALI TOKOH LAMAN KENALI TOKOH

              Arkib Negara Malaysia sebagai penyimpan khazanah warisan negara sentiasa cuba memberikan satu usaha yang terbaik dalam mendokumentasikan sejarah negara ini untuk tatapan dan pengajaran bagi generasi kini serta akan datang. Pendokumentasian sejarah dan warisan negara ini dilakukan bukanlah semata-mata bergantung kepada dokumen yang telah tersedia dan bertulis tetapi juga melalui penceritaan semula tokoh-tokoh yang mengalami sesuatu peristiwa itu sendiri ataupun berpengalaman dalam menjalankan kajian berkaitan warisan sejarah negara. Penceritaan semula pengalaman tokoh-tokoh inilah yang akan menjadi pelengkap kepada perkara-perkara yang mungkin tidak terkandung di dalam dokumen yang sedia ada.

           Laman Kenali Tokoh ini diwujudkan bagi memaparkan profil tokoh-tokoh yang telah menceritakan pengalaman mereka secara lisan bagi tatapan generasi kini dan akan datang. Tokoh-tokoh yang dipaparkan ini adalah merupakan mereka yang telah dirakam pengalamannya oleh Arkib Negara Malaysia mengenai sesuatu topik di dalam program yang terdiri daripada Pengkisahan Sejarah, Bicara, Wacana, Sejarah Lisan dan sebagainya. Pengalaman yang mereka lalui sama ada daripada sudut pengalaman hidup atau pun hasil kajian mengenai warisan sejarah negara ini dikumpul dan didokumentasikan bagi menambah serta melengkapkan lagi koleksi-koleksi bahan-bahan arkib yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia.

          Proses pendokumentasian sejarah melalui proses penceritaan semula oleh tokoh-tokoh ini  telah pun dimulakan sejak tahun 1960-an lagi di mana tokoh-tokoh tertentu dijemput bagi menceritakan pengalaman mereka di hadapan sebilangan penonton atau pun ditemubual secara individu. Melalui program sebegini jugalah Arkib Negara Malaysia dapat mendekatkan diri dengan masyarakat luar yang mungkin sebelum ini tidak begitu mengenali peranan Jabatan ini. Topik-topik yang diketengahkan oleh Arkib Negara Malaysia dalam proses pendokumentasian ini adalah pelbagai, merangkumi aspek-aspek yang berkaitan sejarah dan warisan negara ini daripada sudut sosial, politik dan ekonomi. Bermula tahun 2011 Laman Kenali Tokoh ini telah ditambah baik dengan memasukkan maklumat-maklumat berkaitan tokoh-tokoh terkenal negara yang nama mereka tercatat dalam sejarah negara ini walaupun pengalaman mereka tidak dapat dirakam secara langsung oleh Arkib Negara Malaysia. Segala maklumat berkaitan tokoh-tokoh yang dinyatakan di laman ini adalah berdasarkan kepada sumber-sumber maklumat yang terdapat di Arkib Negara atau sumber-sumber lain yang berkaitan. Para menyelidik dan masyarakat awam dialu-alukan untuk mengutarakan sebarang pandangan seandainya maklumat yang dipaparkan  bercanggah dengan maklumat lebih sahih yang mungkin tidak dinyatakan di laman ini.

          Adalah menjadi harapan Arkib Negara Malaysia agar apa yang dipaparkan di laman ini dapat dijadikan rujukan, khususnya oleh generasi muda dan rakyat Malaysia amnya dalam mengenali secara ringkas tokoh-tokoh yang banyak menyumbang dalam melengkapkan proses pendokumentasian sejarah dan warisan negara ini di samping mengenali tokoh-tokoh yang namanya tercatat dalam perjalanan sejarah negara.  Mungkin masih ramai lagi tokoh-tokoh yang masih belum lagi dirakam pengalaman dan kisahnya oleh Arkib Negara Malaysia serta menjadi impian Jabatan ini agar laman ini dapat dijadikan sabagai satu jambatan penghubung kepada masyarakat  bagi membolehkan mereka mengenali dan memahami fungsi Arkib Negara Malaysia. Tambahan kepada itu juga, Laman Kenali Tokoh ini juga diharap dapat menjadi wadah perkongsian maklumat bagi melahirkan generasi berilmu yang dapat menjadi penyumbang dalam merealisasikan gagasan ‘Satu Malaysia' yang dirancang oleh pihak kerajaan.  

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9