Tun Dato' Haji Omar Ong Yoke Lin Tun Dato' Haji Omar Ong Yoke Lin

  Tun Dato’ Haji Omar Yoke Lin Ong dilahirkan pada 23 Julai 1917 di Kuala Lumpur dan menerima pendidikan awal di Victoria Institution, Kuala Lumpur dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti London pada tahun 1934. Pada tahun yang sama Tun dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Dalam pilihanraya kebangsaan pertama tahun 1955 Tun menang dengan tiket Parti Perikatan dan dilantik sebagai Menteri Pos dan Telekom seterusnya sebagai Menteri Pengangkutan tahun 1956.

  Khas parti Perikatan merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Tun juga turut menyertai rombongan ke London untuk rundingan-rundingan Kemerdekaan bulan April 1957.

  Beliau dilantik sebagai Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat dari tahun 1957 hingga 1959 dan Menteri Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat dari bulan November 1959 dan pada masa yang sama dari masa ke masa memangku jawatan-jawatan Menteri Pertahanan, Perdagangan dan Perusahaan serta Menteri Pertanian. Tun terus menjadi anggota kabinet tiap-tiap kali Pilihanraya Umum tahun-tahun 1959, 1964 dan 1969. Beliau dilantik sebagai menteri tak berjawatan dalam Kabinet Malaysia pada 22 September 1970.

  Antara peranan yang dimainkan dalam masa menganggotai Kabinet ialah mengusulkan dengan jayanya satu rang undang-undang Kesatuan Sekerja yang baru dalam Majlis Undang-undang Persekutuan tahun 1957. Rang Undang-undang ini bertujuan melindungi pergerakan Kesatuan Sekerja dari diseludupi oleh anasir-anasir subversif komunis dan mengandungi peruntukan-peruntukan yang mencegah wang Kesatuan Sekerja dari disalahgunakan.

  Dalam usaha menentang pengganas-pengganas Komunis di Malaya, Tun adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Penasihat Perang Negeri dan menjadi Ketua Pegawai Pasukan Kawalan Kampung di Kuala Lumpur. Beliau juga telah memainkan peranan utama dalam penempatan semula setinggan-setinggan dari sampai ke tangan komunis. Tun turut memimpin perwakilan Malaysia ke Persidangan-persidangan Buruh Antarabangsa tahun-tahun 1957, 1958 ke Persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tahun-tahun 1960-1961 dan Persidangan Parlimen Komanwel di Camberra tahun 1959 dan di London tahun 1961. Pada tahun 1961 dan 1962, Tun mengetuai perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam rundingan dengan perwakilan Singapura, Sabah dan Sarawak mengenai gagasan pembentukan Malaysia. Beliau adalah salah seorang yang menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London bulan September 1963.

  Tun dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat bulan Jun 1962 dan pada masa yang sama Wakil Tetap Malaysia ke Bangsa-bangsa Bersatu dari tahun 1962-1964 dan Pesuruhjaya Tinggi ke Kanada tahun 1966 serta sebagai Duta Besar Malaysia pertama ke Brazil tahun 1967. Jawatan Tun di luar negara berakhir pada November 1972 tetapi beliau terus memegang jawatan Menteri Tak Berfolio sehingga Februari 1973 apabila beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara sehingga 31 Disember 1980.

  Di atas jasa-jasa beliau yang begitu banyak kepada negara, Tun telah dianugerahkan darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (yang membawa gelaran Tan Sri) tahun 1959. Seterusnya Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) tahun 1970, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) tahun 1973 dan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M.) tahun 1979 yang membawa gelaran Tun. Selain dari itu, Tun turut menerima bintang-bintang kehormatan yang tinggi dari kerajaan luar termasuk Persekutuan Republik Jerman, Korea dan Perancis. Pada tahun 1981, Tun dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari Universiti Malaya dan Pingat Emas Kelas Pertama dari negeri Sarawak tahun 1988.

  Dalam kesibukan beliau menjalankan tugas-tugas rasmi, Tun juga menerajui pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan sukarela seperti Persatuan Palang Merah, St. John’s Ambulans, Ahli Majlis PERKIM dan banyak lagi persatuan lain. Tun mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Datin Hajah Dr. Aishah dan dikurniakan dengan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah- Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra
10 Oktober 1992
Arkib Negara Malaysia