Kini, setelah 55 tahun mengorak langkah, FELDA mempunyai kira-kira 1.6 juta keluarga peneroka di 317 tanah rancangan. Sejarahnya bermula dengan penempatan 30 orang peneroka pada 2 Ogos 1959, di bawah rancangan pertama yang dibangunkan di rimba Lembah Bilut, Pahang. Rancangan pembukaan tanah yang diusahakan oleh FELDA, bukan sahaja meliputi negeri-negeri di Semanjung Malaysia, bahkan juga merentasi Laut China Selatan.
Usaha Tun Abdul Razak memperjuangkan nasib golongan miskin dan luar bandar diteruskan dan diperkembangkan oleh generasi selepasnya. Antara usaha tersebut termasuklah penubuhan Gabungan Wawasan Generasi FELDA yang dianggotai oleh anak-anak peneroka bergelar golongan profesional pada 2002. Gabungan ini bertujuan untuk melonjakkan status sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka bagi tempoh 20 tahun akan datang dan meletakkanya seiring dengan kemajuan glokal.|
Kini, FELDA telah berkembang luas ke serata dunia, pelancaran Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) pada 2006 telah berjaya memperkembangkan sayap perniagaan FELDA ke luar negara dan meletakkannya sebagai konglomerat yang tersohor. Langkah ini berjaya menjadikan FELDA berterusan kompetitif dalam perniagaan. Pada masa yang sama, misi asal penubuhannya untuk menjaga kepentingan dan kebajikan warga peneroka tetap terpelihara.
Sesungguhnya pencapaian dan kejayaan FELDA hari ini merupakan hasil cetusan idea "Bapa Pembangunan" yang namanya terus dikenang selagi FELDA terus beroperasi menjangkau ke seluruh dunia. Hasil gagasan idea Tun Abdul Razak telah berjaya merubah landskap negara dan menjadi lambang kejayaan dan kegigihan pemimpin yang tegas dan mempunyai wawasan. Pemergian negarawan ulung berjiwa rakyat di kala khidmat dan jasanya diperlukan lagi amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 di London kerana penyakit leukemia dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Sepanjang hayat Allahyarham, khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara mengatasi segala kepentingannya. Maka wajarlah gelaran "Bapa Pembangunan" dianugerahkan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak.
Artikel ini telah disiarkan di dalam
Majalah Dewan Siswa, Januari 2011