Tan Sri Dato’ Haji Mohamed Ya’acob Tan Sri Dato’ Haji Mohamed Ya’acob

Tan Sri Dato' Haji Mohamed Ya'acob dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Laut, Tumpat, dan Sekolah Melayu Mentuan, Kota Bharu. Kemudian beliau meneruskan pelajaran menengahnya di Sultan Ismail College, Kota Bharu dan memperolehi Overseas School Certificate.

Tan Sri Mohamed mula berkhidmat di Pejabat Pos, Kota Bharu pada tahun 1947. Dari tahun 1948 hingga tahun 1952 beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Pasir Mas, Gua Musang, Tumpat dan Tanah Merah. Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan.

Setelah mendapat Ijazah Barrister-at-Law daripada Lincoln's Inn, beliau dilantik sebagai Ketua Jajahan Bachok pada tahun 1954. Pada tahun 1958, beliau berkhidmat sebagai majistret di Muar dan kemudiannya di Batu Pahat, Johor. Tan Sri Mohamed telah dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Tengah di Muar, Johor pada tahun 1960. Kemudiannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Ipoh pada tahun 1962, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu pada tahun 1967. Beliau bersara daripada perkhidmatan awam dan membuka syarikat guamannya sendiri iaitu Mohamed Yaacob & Co. pada tahun 1967.

Tan Sri Mohamed mula menceburkan diri dalam bidang politik dengan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sejak tahun 1949. Beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Mas pada tahun 1949, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas pada tahun 1950 dan dilantik sebagai perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas ke mesyuarat perwakilan UMNO Malaya. Dalam Pilihanraya Umum 1969, beliau bertanding dan menang sebagai calon Perikatan.

Pada tahun 1970, Tan Sri Mohamed telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Seterusnya pada Januari 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan dan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran pada bulan Ogos 1973. Pada Ogos 1974, beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi dan Penyelidikan dan sebagai Menteri Perusahaan Awam pada tahun 1976.

Tan Sri Mohamed pernah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Machang pada tahun 1973, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah (1974), Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia (1975), Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan (1978) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan (1980-1990).

Dalam pilihanraya umum 1978 dan 1982, Tan Sri Mohamed bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Lanas, Tanah Merah. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar dari Mac 1978-1990 untuk mengetuai kerajaan Barisan Nasional yang pertama di Kelantan. Pada tahun 1980 hingga 1990 beliau dilantik sebagai Pengerusi badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Tan Sri Mohamed juga pernah dilantik  sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada tahun 1996.

Sebagai menghargai jasa Tan Sri Mohamed, beliau telah dianugerahkan dengan beberapa anugerah, Panglima Setia Mahkota (P.S.M), Paduka Mahkota Kelantan (P.M.K), Setia Mahkota Terengganu (S.M.T), Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K.), Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) dan gelaran Dato' Bentara daripada Sultan Kelantan.

Majlis Pengkisahan Sejarah Tun Hussein Onn
18 November 1999
Memorial Tun Hussein Onn
Arkib Negara Malaysia.