Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung

Pelbagai pengalaman semasa kecil, belajar dan bekerja semasa zaman pemerintahan Jepun. Beberapa pengalaman dan pengajaran menarik juga diceritakan semasa pemerintahan Jepun di mana beliau telah dihantar ke sekolah Jepun di Melaka bersama Allahyarham Tun Ghaffar Baba dan Tun Mohammad Yaakub (Bekas Menteri Besar Kelantan). Di sekolah Jepun mereka dilatih untuk menjadi pengajar di sekolah-sekolah Jepun. Sebelum Jepun menawan Tanah Melayu, iaitu di awal 1941 Tun Ghazali telah menyertai pasukan Malayan Volunteer Force,  dan telah dihantar ke Pengkalan Chepa.  Menurut beliau tujuan menyertai pasukan ini adalah untuk mengkaji strategi pasukan British dalam persiapan menentang kemaraan tentera Jepun. Pada pandangan dan penelitian beliau,  strategi British tidak akan berkesan dan tanggapan itu terbukti tepat apabila Jepun mula memasuki Tanah Melayu pada tahun tersebut dan seterusnya seluruh Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun dalam masa yang singkat.

Semasa belajar di sekolah Jepun, beliau dengan mudah dapat menguasai bahasa dan lain-lain mata pelajaran yang diajar dan kemudian telah dihantar untuk menjadi guru di Kuala Lipis. Selain mengajar, kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk mempelajari cara Jepun menjalankan propaganda, taktik, teknik dan strategi pentadbiran tentera Jepun serta mendapat banyak maklumat daripada pelbagai saluran media disebabkan beliau mahir dan fasih membaca bahasa Jepun. Secara diam-diam dalam tahun 1944 -1945 beliau turut serta dalam Force 136 bersama Yeop Mahidin disamping menjadi pegawai askar wataniah. Beliau turut berkhidmat dalam 757 field Security Section' antara tahun 1945 – 1946.

Menyentuh mengenai pendidikan, beliau menceritakan bagaimana sebelum perang meletus iaitu pada 1941, beliau mendapat biasiswa daripada kerajaan Pahang untuk ke Raffles College di Singapura untuk belajar dalam bidang perubatan, tetapi beliau menolaknya, memandangkan beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan sains yang cukup walaupun mendapat gred satu dalam peperiksaan Senior Cambridge. Beliau juga memikirkan sekiranya menjadi doktor hanya dapat membantu seorang pesakit sahaja dalam satu masa sebaliknya jika berada dalam Civil Service dapat membantu orang ramai di luar bandar terutama orang Melayu. Jadi beliau mengambil keputusan untuk cuba memohon memasuki bidang pentadbiran di Raffles College, walaupun ketika itu untuk memasuki bidang pentadbiran mesti masuk ke MCKK terlebih dahulu selama setahun dan kemudian baru boleh memohon ke Raffles College. Disebabkan keputusan Senior Camberidge yang baik beliau terus diterima ke kolej berkenaan tanpa perlu ke MCKK terlebih dahulu. Tambahan pula, minatnya begitu mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat terutamanya anak bangsa sendiri.   Selain daripada itu, menurut beliau lagi seorang pegawai kerajaan pada zaman British, adalah juga juga seorang ahli politik, yang akan terlibat dengan secara langsung dalam pembangunan ekonomi dan sosial serta mewakili rakyat dalam sistem pentadbiran ketika itu. Sistem ini kemudian diubah apabila negara mencapai kemerdekaan, selepas merdeka kedua kerjaya ini telah dipisahkan kerana negara sudah mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri di mana seorang ahli politik akan bersuara di dalam dewan-dewan perwakilan yang dipilih rakyat dan seorang pentadbir pula menjalankan tugas pentadbiran dan melaksanakan rancangan pembangunan  negara.

Setelah tamat perang dunia kedua, Tun Ghazali mula memasuki perkhidmatan kerajaan dan ditugaskan sebagai Penolong Pegawai Daerah, Kuala Lipis. Sepanjang perkhidmatan, beliau sempat dua kali keluar negara untuk melanjutkan pengajian. Kali pertama Tun Ghazali melanjutkan pelajaran ke luar negara pada tahun 1948-1951 iaitu ke University College of Wales, Aberystwth dengan mengambil jurusan undang-undang, Beliau memilih untuk mengkaji Ancient Wales Law' dengan tujuan untuk membuat perbandingan mengenai undang-undang yang terdapat di sana dengan undang-undang lain. Beliau adalah seorang pelajar yang aktif dan di pilih mewakili universiti di National Union of Students Council, Great Britain. Beliau juga aktif dalam Malay Society of Great Britain dan bersama beberapa kawan dari Malaya dan Singapura menubuhkan Malayan Forum .

Kali kedua menyambung pelajaran keluar negara ialah pada 1953 ke Universiti Oxford, tetapi hanya sempat berada di sana selama satu bulan apabila merasakan pengajian di sana yang beliau sifatkan sebagai ‘very colonia'l. Beliau kemudian memohon kepada Tunku Abdul Rahman untuk bertukar ke London School of Economic untuk tempoh pengajian selama satu tahun, tetapi oleh kerana beliau dianugerahkan biasiswa untuk dua tahun, bagi tahun kedua beliau telah memilih untuk belajar dan mengajar di beberapa institusi luar negara seperti Institute of Commonwealth, Foreign Office London, United Nation dan ke India.

Mukasurat: 1  2  3  4