Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung

 


Sekembalinya ke tanah air, beliau ditugaskan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Selangor seterusnya ditukarkan ke Negeri Sembilan  sebagai Pemangku Setiausaha Kerajaan.  Antara tahun 1955 – 1957 beliau banyak bertugas di luar negara termasuklah di Pejabat Pesuruhjaya di London, kemudian ke pejabat Wakil Tetap Bangsa-bangsa Bersatu, Pesuruhjaya Tinggi British di New Delhi, India. Beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu ke India di mana beliau kemudiannya bertanggungjawab menubuhkan Suruhanjaya Tinggi Malaya di New Delhi, India.

Selepas berkhidmat di luar negara beliau ditempatkan pula di Kementerian Luar sebagai Timbalan Ketua Setiausaha kemudian sebagai Pemangku  Ketua Setiausaha bedasarkan pengalaman luasnya dalam hal ehwal luar negara. Pada tahun 1960 dilantik sebagai Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar, jawatan ini kemudian dikenal dengan nama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri. Tun Ghazali adalah tokoh yang banyak terlibat dengan sejarah penubuhan Malaysia, beliau merupakan orang yang banyak berperanan dan menyumbangkan tenaga serta buah fikiran sehingga terbentuknya negara Malaysia ini. Penglibatannya dalam Suruhanjaya Cobbold begitu berkesan sekali dan merupakan tonggak kepada penggubalan dasar-dasar negara disamping para pemimpin negara yang lain ketika itu.

Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan peristiwa yang menggemparkan. Parlimen digantung dan Mageran diwujudkan, beliau adalah antara orang yang bekerja keras bersama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan ahli-ahli Mageran yang lain memulihkan keamanan dalam negeri. Selain dari itu beliau juga adalah salah seorang ahli dalam Majlis Perundingan Kebangsaan.

Bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai kerajaan pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai Senator dan diberi jawatan dalam Kabinet sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas. Pada tahun 1972 beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen bagi kawasan Lipis dan memenanginya. Beliau kemudian meneruskan tugas sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas dan Menteri Penerangan. Pada pilihanraya 1974, beliau menang tanpa bertanding dan selepas itu bertukar potfolio kepada Menteri Dalam Negeri, hinggalah pada 1981 dilantik pula sebagai Menteri Luar Negeri sehingga bersara pada 1984.
 
Tun Ghazali banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran ke arah penubuhan ASEAN, beliau mempunyai keistimewaan dan hubungan yang rapat dengan kesemua pemimpin-pemimpin ASEAN secara peribadi. Hubungan rapat ini telah menjadikan penubuhan ASEAN dapat dilaksanakan dengan baik, tambahan pula kebijaksanaan beliau sebagai seorang diplomatik yang disegani di dalam dan luar negara. Perbincangan antara negara dalam apa juga keadaan. Mengikut kata beliau, banyak perkara dilakukan melalui rundingan dan perbincangan tidak formal sebelum satu mesyuarat yang sebenar diadakan. Kebijaksaan beliau juga menjadikan proses-proses dan hubungan diplomatik dengan jiran-jiran sekeliling kita menjadi harmonis dan kepentingan budaya, ekonomi, politik dan sosial dapat dimanfaatkan bersama oleh rantau ini. Contohnya perbincangan mengenai konfrantasi dengan Indonesia, masalah telaga minyak di pantai timur semenanjung Malaysia dengan Thailand dan beberapa masalah dengan Filipina, Brunei dapat diselesaikan dengan penuh persaudaraan serantau.

Dalam memperkatakan mengenai keadaan dalam negara, pesan Allahyarham Tun Ghazali Shafie kepada para pemimpin Melayu agar jangan lupa tentang arah perjuangan nasionalisme Melayu serta haluan perjuangan orang Melayu. Para pemimpin perlu terus berjuang meningkatkan status orang Melayu serta membantu mereka untuk bersaing terutama menghadapi dunia tanpa sempadan hari ini. Jika tidak kita akan terus menerus ketinggalan jauh ke belakang.

Mukasurat: 1  2  3  4