Dato’ Dr. M. Jegathesan Dato’ Dr. M. Jegathesan

Dato' Dr. M. Jegathesan telah dilahirkan pada 2 November 1943 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Batu Road Primary School, Kuala Lumpur antara tahun 1950-1954.

Beliau melanjutkan pelajaran menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur (1955) dan ke Anglo Chinese School, Singapura (1956-1961). Meneruskan pengajian di University of Singapore (1962-1967) dan lulus dengan Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (M.B.B.S.). Beliau juga memiliki Diploma in Tropical Medicine and Hygiene Bangkok (1969) dan Diploma in Clinical Pathology (1971) dari University of London.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Houseman di Hospital Besar, Kuala Lumpur (1967-1968), sebagai Trainee Pathologist di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur (1968-1970) dan seterusnya menjadi Ketua Bahagian Serology di institut yang sama pada November 1971. Pada bulan yang sama juga beliau dilantik menjadi Ketua Bahagian Bacteriology (1971-1985). Selepas itu dilantik sebagai Ketua dan Consultant Bacteriologist di Jabatan Perkhidmatan  Makmal, hospital Besar, Kuala Lumpur. Beliau kembali bertugas di IMR sebagai Pengarah dan Consultant Bacteriologist (1988-1993) dan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dari 16 Disember 1993 hingga sekarang.

Di bidang olahraga, beliau merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100m dengan catatan masa 10.38s dan acara 400m dengan catatan 46.3s. Pencapaian cemerlang beliau dalam acara 100m pada tahun 1966 meletakkan beliau sebagai pelari terpantas di Asia. Rekod tersebut hanya berjaya dipecahkan oleh Watson Nyambek di Sukan Malaysia (SUKMA) ke -6 di Kuantan, Pahang pada tahun 1996 dengan catatan 10.31s. Pada tahun 1996, beliau turut bertanding dalam acara akhir 220 ela di Vill British, Commonwealth Games di Kingston, Jamaica. Selain dari itu beliau juga pernah bertanding dalam Sukan Olimpik, di Tokyo (1964) dan Mexico (1968).

Kecemerlangan doktor perubatan ini di dalam bidang sukan menyebabkan beliau digelar ‘The Flying Doctor'. Anugerah terawal pernah diterimanya adalah Ahli Mangku Negara (AMN) ada tahun 1961. Tahun 1966 amat bersejarah baginya kerana terpilih sebagai orang pertama menerima anugerah Olahragawan Negara. Beliau juga menerima Asia Amateur Athletic Award bagi enam atlet terbaik Asia sepanjang zaman dan Veterans Award oleh International Amateur Athletic Federation (1993).

Setelah bersara dari olahraga, beliau masih menaburkan bakti sebagai penasihat perubatan bagi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia dan Persatuan Olahraga Amatur Asia, Pengerusi Jawatankuasa Ujian Dadah Majlis Olimpik Malaysia (sejak 1993), Ahli Suruhanjaya Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (sejak 1993) dan Pengerusi  Jawatankuasa Perubatan Persatuan Olahraga Amatur Asia sejak 1983). Beliau turut menganggotai pelbagai badan sukan di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.

Beliau telah dianugerahkan darjah Dato' Paduka Mahkota Perak oleh Sultan Perak  pada 1992 yang membawa gelaran Dato'. Di samping itu, beliau juga telah menerima Anugerah Sains Negara pada 1995 atas kejayaannya menemui sejenis bakteria pada tahun 1993 yang telah dinamakan sempena nama beliau iaitu bacillus thuringiensis Sorovar Jegathesan.

Pengkisahan Sejarah Penglibatan Malaysia Dalam Sukan Komanwel dan Pelancaran Buku Sukan Komanwel ‘Dari Hamilton ke Kuala Lumpur'
30 Julai 1998
Memorial Tunku Abdul Rahman
Arkib Negara Malaysia.