Dato’ Sieh Kok Chi Dato’ Sieh Kok Chi

YBhg. Dato' Sieh Kok Chi telah dilahirkan pada 8 November 1938. Beliau bersara pada 1 Januari 1991. Setelah persaraannya, beliau telah memilih untuk bekerja sepenuh masa dalam bidang sukan terutamanya dalam Majlis Olimpik Malaysia. Beliau kini merupakan Setiausaha Kehormat dalam Majlis Olimpik Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai Jurutera Awam pengairan, saliran dan sumber air di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia bermula Mac 1963 hingga 1989. Manakala dari tahun 1989-1990, beliau berkhidmat di Majlis Sukan Negara Malaysia sebagai Penasihat dalam Hosting Policies and Organisation of Games.

Beliau mempunyai pengalaman sebagai seorang atlit. Sekitar tahun 1960-1970, beliau bergiat aktif mewakili negara dalam acara polo air. Pada tahun 1965 sehingga 1969, beliau mewakili Malaysia dalam acara polo air di The South-East Asia Peninsular Games dan The Asian Games (1970).

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting, antaranya Setiausaha Persatuan Amatur Renang Selangor (1971-1974). Setiausaha Kesatuan Renang Selangor (1974-1982), Ahli Majlis dan Sukarelawan  bagi Majlis Olimpik Malaysia (1974-1991).

Sejak tahun 1971 sehingga hari ini, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa penganjuran pelbagai jenis sukan yang dianjurkan oleh Malaysia. Sehingga hari ini juga beliau masih memegang jawatan penting seperti Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia dan Continental Co-ordinator (Asia) for OIC Olympic Solidarity Sports Administration Courses.  Di samping itu, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Jurulatih Kebangsaan, Ahli Panel Penasihat Sukan dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea ke-20 di Brunei Darussalam.

Majlis Pengkisahan Sejarah Majlis Olimpik Malaysia
22 Mei 2003
Memorial Tunku Abdul Rahman
Arkib Negara Malaysia.