Majlis Raja-raja: Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja Majlis Raja-raja: Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja

Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British kerana Residen ketika itu, Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897. Walaupun perkara-perkara yang dibincangkan dalam Durbar yang pertama itu hanya melibatkan agama Islam, adat istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, namun ianya merupakan titik tolak dan asas bermulanya persidangan Majlis Raja-Raja. Untuk makluman, gambar sultan-sultan, pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai British yang menghadiri Durbar pertama serta minit mesyuarat Durbar pertama disimpan sebagai khazanah eksklusif negara dan terbuka untuk rujukan semua di Arkib Negara Malaysia.

Durbar kedua diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur dan satu perkara penting yang timbul dalam Durbar kedua ini ialah keberanian Sultan Idris menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Betapa jauh pandangan Sultan Idris yang meminta supaya pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, turut dikongsi oleh anak bangsanya sendiri, menjelaskan pelaksanaan amanah oleh Majlis Raja-Raja bagi pihak orang-orang Melayu ketika itu.

Wajar diingati, kesan dari Durbar juga memperlihatkan peranan Raja-Raja sebagai pelindung dan penjaga hak dan kedaulatan orang Melayu ketika itu. Dari Durbar jugalah idea, cadangan dan suara-suara bangsa bagi mempertingkatkan taraf hidup dan status ekonomi bangsa Melayu diutarakan. Idea asal penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar juga bermula dari sini. Selain itu, penekanan soal agama Islam dan bahasa Melayu turut diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu di ruang yang ada dalam Durbar ini.

Masa berlalu, tanggungjawab dan kehendak perlu selaras dengan peredaran zaman. Maka, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 31 Ogos hingga 1 September 1948. Mesyuarat ini buat kali pertama dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu. Ketika rakyat Tanah Melayu menentang penubuhan Malayan Union, Raja-Raja Melayu turut bangkit bersama bagi memastikan idea penjajah ini tidak menjadi kenyataan. Selepas perit getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan ditempuhi, tanggal 5 Ogos 1957, termeterailah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957 yang dibuat antara Kerajaan British yang diwakili oleh Sir Donald Charles MacGillivray bagi pihak Baginda Queen Elizabeth II dengan raja-raja Melayu, Undang-undang dan Orang-orang Besar Negeri Sembilan. Dengan termaktubnya perjanjian ini, maka pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu diberi kemerdekaan. Namun, bukan sekadar perjanjian yang terpahat dalam lipatan sejarah pada tarikh keramat itu, satu perkara yang perlu diingati semua rakyat Malaysia ialah bersama perjanjian tersebut, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu turut diperkenan oleh kesemua Raja-Raja Melayu untuk dijadikan asas urus tadbir negara.

Mukasurat: 1  2  3  4