Tan Sri Dato’ Hj. Ahmad Perang Tan Sri Dato’ Hj. Ahmad Perang

  YBhg Tan Sri Ahmad Perang dilahirkan pada tahun 1910 di Johor Bahru, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Zaharah, Johor Bahru bersama-sama teman sebayanya Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Dato' Sulaiman Abdul Rahman. Selepas itu, beliau bersekolah pula di Sekolah Sementara, Johor Bahru. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke English College dan belajar di sini sehinggalah lulus School Certificate pada tahun 1928. Selepas tamat persekolahan, beliau memasuki perkhidmatan Kerajaan bermula dengan Jabatan Pos Johor dalam tahun 1929 bersama dua sahabat karibnya Encik Rahman Musa dan Dato' Bidin. Mereka juga adalah antara orang-orang Melayu terawal berkhidmat di Jabatan Pos Johor Bharu.

  Semasa bertugas dengan Perkhidmatan Pos, beliau telah dihantar belajar ke General Office, Singapura untuk mendalami pengetahuan tentang perkhidmatan ini. Selepas beberapa ketika berkhidmat dengan Jabatan Pos, beliau berkhidmat pula dalam Perkhidmatan Tadbir Johor (Johor Civil Service) sebagai Pegawai Tadbir. Jawatan-jawatan lain  yang pernah disandang semasa bertugas dengan JCS ini ialah seperti Majistret, Pegawai Daerah, Pegawai Audit dan Pegawai Kewangan Negeri. Semasa berkhidmat dalam Johor Civil Service (JCS) beliau pernah dihantar melanjutkan pelajaran di England selama dua tahun. Tetapi beliau tidak sempat menamatkan pelajarannya kerana berlakunya Perang Dunia Kedua di Eropah dan beliau kembali ke Tanah Melayu.

   Pada masa perjuangan menuntut kemerdekaan khususnya perjuangan menentang Malayan Union beliau juga tampil mengambil bahagian yang cergas. Walaupun tidak melibatkan diri secara aktif sebagai ahli politik, beliau tetap memberi sokongan kepada perjuangan kemerdekaan. Dalam tahun 1957 beliau diminta oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman supaya bertugas dengan Kerajaan Persekutuan memandangkan kekurangan pegawai berkebolehan dalam Persekutuan pada masa itu. Malah, Tunku sendiri meminta Kerajaan Johor melepaskan beliau (Tan Sri) untuk bertugas dengan Kerajaan Persekutuan. Setelah mendapat pelepasan Kerajaan Johor, beliau telah menyambut baik permintaan Almarhum Tunku dan datang ke Kuala Lumpur bertugas sebagai Pengerusi Rural Industrial Development Authority (RIDA). Dalam masa yang sama, beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu.

  Dalam tahun 1964 beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu. Beliau adalah anak Melayu pertama memegang jawatan Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang sebelum ini disandang oleh orang-orang Inggeris. Selepas berkhidmat selama 3 tahun dengan KTM, beliau telah dilantik pula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya tahun 1967 sehinggalah beliau bersara daripada perkhidmatan dalam tahun 1976.

  Semasa perkhidmatan beliau dengan kerajaan, Tan Sri Ahmad Perang telah banyak mencurahkan jasa baktinya ke arah memajukan negara dan masyarakat. Di atas jasa-jasanya itu beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Mangku Negara (PMN) dalam tahun 1958 yang membawa gelaran tan Sri oleh D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong yang pertama. Beliau juga dianugerahkan Pingat Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) membawa gelaran Dato'.

  Beliau juga bergiat di dalam  aktiviti-aktiviti sukarela semasa berkhidmat dalam Kerajaan seperti dalam Persatuan Anti TiBi, Persatuan Orang-orang Buta dan sebagainya yang menunjukkan hasrat serta keikhlasan beliau membela orang-orang susah. Beliau telah berumah tangga dengan Puan Sri Salmah Mohd. Said dan dikurniakan 6 orang anak

Tokoh Pengkisahan Sejarah Keretapi Tanah Melayu (KTM)
11 Mei 1990
Arkib Negara Malaysia