Dato’ Harun Ariffin Dato’ Harun Ariffin

 YBhg. Dato' Harun Ariffin telah dilahirkan pada 13 Julai 1924 di Butterworth namun telah dibesarkan dan bersekolah di Alor Setar, Kedah. Beliau telah lulus Senior Cambridge Certificate pada tahun 1941.

 Dato' Harun memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam pada tahun 1956 apabila beliau bertugas dalam ‘Kedah Civil Service'. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah, Ipoh pada tahun 1957 dan beberapa tempat lagi seperti Parit dan Grik di tahun-tahun berikutnya. Tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada beliau telah dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna sehingga menarik perhatian Allahyarham Tun Abdul Razak. Pada tahun 1961 Dato' Harun kemudian telah diberikan jawatan sebagai ‘Principal Assistant Secretary' di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

 Dato' Harun kemudian bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Negeri Selangor dan kemudian di Perak. Pada tahun 1965, Dato' Harun telah dihantar ke Sarawak sebagai Pegawai Pembangunan Negeri Sarawak. Pada ketika itu Setiausaha Negeri Sarawak ialah Dato' Abu Hassan Abdullah iaitu Setiausaha Persekutuan Sarawak yang ketiga.

 Pada tahun 1967, Dato' Harun telah mula dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak apabila Dato' Abu Hassan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada tahun tersebut. Setelah selesai menjalankan tugas-tugasnya di Sarawak, Dato' Harun telah kembali ke Semenanjung dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada tahun 1970.

 Beliau kemudian ditukarkan ke Kementerian Tanah dan Kemajuan Wilayah sebagai Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan apabila kementerian tersebut ditubuhkan pada 1973 dan Y. B. Datuk Asri Hj. Muda sebagai menterinya. Jawatan ini dipegang sehingga tahun 1979 apabila Dato' Harun bersara pada tahun tersebut.

 Tugas dan sumbangan yang diberikan oleh Dato' Harun terhadap kemajuan negara tidak terhenti selepas beliau bersara, beliau telah pula dilantik sebagai pengerusi beberapa Perbadanan dan Lembaga termasuklah FELDA, RISDA, KESEDAR, Jawatankuasa Penentuan dan Pengukuran Sempadan Malaysia-Thailand, Jawatankuasa Penentuan dan Pengukuran Sempadan Malaysia-Indonesia.

 Selain dari jawatan-jawatan tersebut, pada tahun 1980 beliau telah diberi kepercayaan sekali lagi untuk menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perundingan Malaysia-Thailand bagi Kawasan Benua Laut China Selatan Malaysia yang bertindih. Jawatan ini dipegang secara kontrak sehingga ke tahun 1989. Selepas menamatkan tugas ini beliau telah menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan.

Majlis Pengkisahan Sejarah Jabatan Setiausaha Persekutuan Sarawak
17 September 1996
Arkib Negara Malaysia.