Dato’ J. J. Raj Dato’ J. J. Raj

 Dato' J. J. Raj telah dilahirkan pada 1923 di daerah Chemor, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan sekolah rendah di Ipoh dan kemudian meneruskan pengajian peringkat menengahnya di Penang.

 Beliau telah memasuki Sekolah Latihan Polis pada tahun 1947 sebagai pelatih. Setahun kemudian beliau telah keluar sebagai Inspektor yang sedia berkhidmat kepada negara. Pada masa ini jugalah darurat telah diisytiharkan di seluruh negara. Tenaga-tenaga muda daripada pasukan keselamatan amat diperlukan sebagai benteng utama keselamatan negara. Sebagai persediaan menghadapi Darurat, Dato' Raj telah ditugaskan di Tanjung Rambutan sebagai jurulatih untuk melatih anggota polis dalam ‘Jungle Fighting'.

 Pada tahun 1949 Dato' Raj telah ditukarkan ke Johor sebagai OCPD (Officer In Charge of Police District) di beberapa daerah iaitu Pagoh, Muar dan Tangkak. Pengalaman semasa bertugas sebagai OCPD Pagoh telah meninggalkan kesan yang mendalam pada beliau di mana ketika inilah berlakunya peristiwa sepasukan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong.

 Pengalaman-pengalaman yang dilalui semasa Darurat sentiasa dikenang dan menjadi pedoman bukan sahaja kepada beliau tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

 Dato' Raj kemudiannya telah melanjutkan pengajiannya di bidang kepolisan di ‘British Police College', Bramshill pada tahun 1954. Sementara pada tahun 1966, beliau telah memasuki ‘British Armed Forces Joint Service Staff College', Latimer United Kingdom.

 Sekembalinya ke Malaysia, beliau telah berkhidmat di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Antaranya beliau telah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor dan pada tahun 1963, Dato' Raj telah dipilih untuk mengetuai ‘Royal Malaysian Police College' dan kemudiannya beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan yang bertanggungjawab ke atas 75,000 anggota dan kakitangan dalam perkhidmatan polis.

 Jawatan ini merupakan jawatan terakhir beliau sebelum bersara dari perkhidmatan polis pada tahun1977.

 Dalam tahun 1967, Dato' Raj telah ditugaskan untuk menyediakan satu laporan sulit mengenai pelantikan Pesuruhjaya Polis Sarawak. Laporan ini bertujuan untuk mengubah dasar yang telah dijalankan oleh British di mana pelantikan ke jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak hanya diberikan kepada anak negeri Sarawak selepas 15 tahun. Hasil dari kajian dan saranan Dato' Raj, kerajaan telah bersetuju untuk melantik anak negeri Sarawak sebagai Pesuruhjaya Polis selepas tiga tahun sahaja.

 Di peringkat antarabangsa Dato' Raj telah mewakili negara ke seminar mengenai ‘Human Rights in a Multi National Society'. Beliau juga telah dilantik sebagai pengerusi di seminar berkenaan.

 Di bidang sukan, Dato' Raj adalah Setiausaha Agung Persatuan Menembak Kebangsaan. Di samping itu, beliau juga memegang jawatan yang sama di dalam Persatuan Penembak Asia Tenggara (South East Asia Shooting Association). Beliau telah mengetuai kontinjen penembak negara ke Sukan Asia di Seoul pada 1986 dan 1990, sukan SEA ke XIV di Jakarta pada 1987, 1990, Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta pada 1990 dan 1991 dan ke Sukan Olimpik di Barcelona pada 1992.

 Pada masa ini Dato' Raj adalah Ketua Pengarah ‘Malaysian Institute of Directors'. Selain dari itu beliau juga bergiat cergas dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, ‘Malaysian Leprosy Relief Association' dan beberapa pertubuhan sukarela yang lain. Beliau juga adalah Pengerusi Eksekutif Guardian Mercantile Agency (M) Sdn. Bhd.

 Sumbangan yang diberikan oleh pasukan keselamatan sentiasa dikenang sepanjang masa. Bagi Dao' Raj sumbangan yang beliau curahkan tidak dilupakan. Beliau telah dianugerahkan dengan ‘Panglima Negara Bintang Sarawak' pada tahun 1981 yang membawa gelaran Dato', S.M.S. Selangor pada 1975, J.M.N. pada 1974, K.M.N. pada 1967 dan beberapa anugerah lain sebagai mengenang jasa-jasa yang telah beliau berikan sepanjang perkhidmatannya.

 Sebagai penutup sepatah kata daripada Dato' J.J. Raj (Jr)..

" old policeman never fade away,
 they simply rebounce back"

Siri Pengkisahan Sejarah- Darurat 1948-1960
2 September 1993
Arkib Negara Malaysia.