50 Tahun Tamat Darurat 50 Tahun Tamat Darurat

31 Julai 1960, pada tarikh inilah 50 tahun yang lalu, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin berkenan mengisytiharkan penamatan Darurat menentang komunis. Darurat menentang komunis telah diisytiharkan secara berperingkat-peringkat di negara ini pada bulan Jun 1948. Pengisytiharan penamatan darurat ini telah disambut dengan rasa penuh kesyukuran oleh seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu tanda kemenangan berakhirnya zaman keperitan selama 12 tahun. Pengisytiharan ini dicapai selepas tiga tahun, lima bulan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Hasrat untuk menamatkan darurat dengan rasminya pada 31 Julai 1960 dan memansuhkan segala undang-undang darurat yang telah berjalan semenjak bulan Jun 1948, telah disuarakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin ketika bertitah pada pembukaan Persidangan Kedua Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 19 April 1960.

" dengan kejayaan2-nya dalam usaha menghapuskan dzarurat itu maka dapat-lah Kerajaan Beta menjalankan dasar2 kemajuan. Oleh sebab usaha menentang Dzarurat itu sangat berhasil maka Kerajaan Beta bercadang akan mengishtiharkan Dzarurat ini tamat pada 31 haribulan July dan pada masa itu memansokhkan Undang2 Dzarurat."

Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah bersempena dengan pembukaan penggal kedua bagi Parlimen yang pertama pada 19 April 1960.

Lanjutan daripada itu satu perbarisan Tamat Darurat telah diadakan di Padang kelab Selangor pada 1 Ogos 1960 melibatkan penyertaan semua unit bersenjata Persekutuan Tanah Melayu. Dalam upacara perbarisan besar-besaran ini kira-kira enam ribu orang pegawai dan anggota daripada semua pasukan bersenjata termasuklah Home Guard dan bekas anggota polis khas serta 400 buah kenderaan, 70 buah kapal terbang dan lima pasukan tempur telah mengambil bahagian.  Pengisytiharan tamat darurat ini dianggap sebagai hari kemenangan kepada seluruh rakyat di Tanah Melayu yang dicapai dengan kerjasama rakyat, pasukan bersenjata Persekutuan dan Pasukan Tentera Komanwel.

Dalam titah pengisytiharan tamat darurat pada 31 Julai 1960, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah menyatakan rasa kesyukuran kerana zaman gelap selama 12 tahun yang terpaksa dilalui oleh seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu telah  berakhir.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6