50 Tahun Tamat Darurat 50 Tahun Tamat Darurat

"Maka sa-sunggohnya hari ini ada-lah satu hari yang sangat-sangat berbahagia dalam sejarah pemerentahan beta untok memelihara dan mengekalkan keamanan dan menegakkan asas2 demokrasi di–dalam negeri ini. Musoh yang telah kerajaan beta kalahkan itu bukan-lah musoh yang kechil daripada satu kumpulan atau pertubohan dalam negeri ini sahaja bahkan ia-lah satu musoh yang besar yang terdiri daripada sa-bahagian pergerakan komunis dunia."

Pengisytiharan Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948 adalah disebabkan oleh keganasan  yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Kemuncak kepada keganasan itu ialah pembunuhan tiga orang ketua Kuomintang di Johor pada 12 Jun 1948 dan pembunuhan tiga orang pengurus ladang getah yang berbangsa Eropah termasuk seorang pembantu ladang di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Rentetan daripada peristiwa tersebut Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengisytiharkan darurat di Perak dan Johor. Lanjutan daripada itu juga, Sir Alexander Theodore Newboult, Pegawai Tadbir Kerajaan mengisytiharkan Undang-Undang Darurat pada 12 Julai 1948 bagi seluruh Tanah Melayu. Pengisytiharan ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan bertarikh 13 Julai 1948 dan PKM diharamkan secara rasmi pada 23 Julai 1948.

Kerajaan juga telah mengambil dan memperkenalkan beberapa strategi untuk membendung dan melemahkan kegiatan komunis seperti penubuhan Jawatankuasa Perang, Penubuhan Kampung-kampung baru di bawah Rancangan Briggs, Kempen Bulan Rakyat Melawan Penjahat, Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan dan Kad Pengenalan Diri, melancarkan Perang Saraf, Konsep Kawasan Putih serta melancarkan tawaran pengampunan melalui radio, suratkhabar dan penyebaran risalah dari udara.  Selain daripada strategi tersebut Pasukan Keselamatan diperkukuhkan dengan penubuhan Pasukan Keselamatan Melayu, Pasukan Polis Hutan ‘Police Field Force', Mata-Mata Khas-SC ‘Special Constable', Polis Bantuan ‘Auxiliary Police', Polis Cawangan Khas ‘Special Branch' dan ‘Home Guard'.

Pada 9 September 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan tawaran pengampunan kepada komunis. Sebanyak 12 juta risalah tawaran pengampunan kepada komunis telah diedar ke seluruh Tanah Melayu, menyeru komunis menyerah diri kepada pihak berkuasa. Kempen selama lima bulan iaitu sehingga 8 Februari 1956 ini telah menarik seramai 73 orang komunis dan 12 orang penyokongnya menyerah diri kepada kerajaan. Kemuncak kepada usaha kerajaan untuk mengatasi pemberontakan bersenjata komunis ialah dengan mengadakan rundingan dengan PKM. Rundingan yang diadakan dalam empat sesi selama dua hari ini telah diadakan di Sekolah Kerajaan, Baling, Kedah (kini Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) pada 28 hingga 29 Disember 1955.  Pihak kerajaan diwakili oleh Ketua  Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura,  Encik  David  Marshall  serta   Dato'  Sir  Tan  Cheng  Lock.  Manakala PKM diwakili  oleh  Chin  Peng  selaku  Setiausaha  Agung  PKM, bersama  dengan  Chen Tian dan Abdul Rashid  Maidin. Namun begitu rundingan ini berakhir dengan tanpa mencapai kejayaan. Pada 3 September 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra melancarkan satu lagi tawaran pengampunan baru iaitu Tawaran Pengampunan Merdeka kepada komunis selama lapan bulan.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6