Tan Sri Dato’ Abdullah Bin Ayub Tan Sri Dato’ Abdullah Bin Ayub

             

  Tan Sri Dato' Abdullah Bin Ayub telah dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan di Anglo-Chinese School, Sitiawan, sebelum meneruskan persekolahan beliau di Sekolah King Edward VII di Taiping. Berkat dan ketekunan dan ketabahan beliau dalam pelajaran, Tan Sri telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan berjaya meneruskan pengajiannya ke Raffles College dan University Malaya, Singapore. Beliau lulus Ijazah  B.A (hons) dalam tahun 1953 dan telah dianugerahkan "Queen's Scholarship" kerana pencapaian yang cemerlang.

  Semasa pemerintahan Jepun, Tan Sri Dato' Abdullah telah menjadi seorang Guru Bahasa Jepun dan pada masa B.M.A. beliau telah bergerak dalam politik dengan memasuki M.N.P dan juga A.P.I bersama-sama Pa' Sako, Dato' Ahmad Boestaman (Allahyarham) dan Tan Sri Aishah Ghani.

  Kerjaya Tan Sri Dato' Abdullah dalam pentadbiran bermula apabila beliau diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) Malayan Civil Service (M.C.S) pada 5 Januari 1954 dan ditempatkan sebagai Penolong Pesuruhjaya Buruh di Pejabat Buruh Selangor. Keperluan untuk memenuhi kehendak pemerintah British pada masa itu telah membawa Tan Sri Dato' Abdullah mengikuti Pengajian Bahasa Cina selama 2 tahun dengan tujuan supaya beliau menjadi ‘Pegawai Hal-Ehwal Orang-orang Cina' pada masa akan datang, tetapi jawatan itu telah dihapuskan kerana bantuan M.C.A.

  Selepas lulus Pengajian Bahasa Cina, Tan Sri Dato' Abdullah telah ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Y.T.M Tunku Rahman Putra mulai Ogos 1956.
Beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Dalam dan Keadilan untuk membantu menyediakan persiapan perayaan Hari Merdeka dan Pertabalan Yang di-Pertua  Agong yang pertama pada 31 Ogos 1957. Jawatan-jawatan yang dipegang dalam M.C.S ini telah memberi peluang kepada beliau untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam bidang pentadbiran awam dan untuk meningkatkan lagi kemahiran, beliau telah dihantar untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam di Universiti Cambridge, England selama setahun dari tahun 1958 hingga 1959.

  Sekembalinya Tan Sri Dato' Abdullah dari England, beliau telah ditugaskan di Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan selepas itu ke Jabatan Perdana Menteri dan akhirnya ditukarkan ke Perbendaharaan pada awal tahun 1961. Tan Sri Dato' Abdullah mempunyai kerjaya yang lama di Perbendaharaan iaitu hampir 15 tahun (1961-1972, 1974-1978). Dalam tempoh itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian itu dan telah dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Tertinggi H hingga Turus A. Tempoh perkhidmatan beliau di Perbendaharaan adalah bersamaan tempoh pembangunan negara yang amat pesat, penubuhan Malaysia dan tragedi 13 Mei 1969. Rancangan-rancangan pembangunan terpaksa digubal dan pengurusan kewangan terpaksa dipesatkan. Tan Sri Dato' Abdullah adalah terlibat penuh dalam kegiatan-kegiatan ini. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (N.D.P.C) beberapa lama dan kemudian pengerusinya. Peraturan kewangan berkenaan, kemasukan  Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura ke dalam Malaysia adalah menjadi tanggungjawab beliau dan beliau telah berada di London apabila Malaysia Agreement ditandatangani dalam tahun 1963.

  Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Dato' Abdullah dalam menjalankan tugas telah membawa beliau ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi dan penting kepada negara. Ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1972. Selain itu, beliau juga berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan daripada Ogos 1974 hingga Disember 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

  Kecemerlangannya sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tan Sri Dato' Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Pada masa yang sama, beliau juga adalah Setiausaha Kabinet kepada Jemaah Menteri. Dalam itu pula, beliau telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara.


  Sebaik sahaja bersara dari Perkhidmatan Awam pada 3 Januari 1981, Tan Sri Dato' Abdullah terus dilantik sebagai Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam. Ternyata di sini segala pengalaman dan khidmat bakti beliau kepada negara sangat berharga untuk dilepaskan begitu sahaja walaupun sudah tamat tempoh perkhidmatan beliau.


  Selain daripada menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai seorang pentadbir, Tan Sri Dato' Abdullah juga dilantik memegang jawatan-jawatan penting dalam Badan-badan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun. Di antaranya termasuklah:-

  • Menubuhkan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd (S.P.P.K) dan menjadi pengerusinya beberapa lama.
  • Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
  • Pengerusi, Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Berhad
  • Pengerusi, Ladang MOCCIS Sdn. Bhd
  • Pengerusi, Badan Pelajaran Malaysia
  • Ahli, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
  • Ahli, Jemaah Pengarah, Malaysia National Insurance Sdn. Bhd. 

  Sebagai seorang pentadbir, beliau telah banyak menaburkan bakti dan taat setia kepada perkhidmatan awam khasnya dan negara amnya. Jasa-jasa beliau dihargai dengan anugerah-anugerah darjah SPCM, SPMJ, DPMT, DPSK, PGDK yang diterima dari beberapa buah negeri di Malaysia dan tidak ketinggalan di peringkat persekutuan dengan Anugerah-anugerah Bintang KMN, JMN dan Darjah PSM pada tahun 1974 dan Darjah PMN pada tahun 1979, yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri.

 

Tokoh Pengkisahan Sejarah - Sejarah Pentadbiran Malaysia
11 Febuari 1988
Arkib Negara Malaysia