Profesor Dato’ (Dr.) Ungku Omar bin Ahmad Profesor Dato’ (Dr.) Ungku Omar bin Ahmad

Profesor Dato' (Dr.) Ungku Omar bin Ahmad dilahirkan di Johor Bahru pada 18 Januari 1931 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kluang, Segamat Pontian, Tangkak di samping Sekolah Agama sehingga darjah enam. Beliau kemudiannya  melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum meneruskan pelajaran di Universiti Malaya Singapura dan lulus dengan Ijazah Perubatan dan Bedah pada tahun 1957.

Sebaik sahaja tamat pengajian (selepas menjalani ‘housemanship' di Johor Bahru) beliau terus berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dan Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Pada tahun 1961 beliau telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya memperolehi Diploma dalam bahagian Patologi (iaitu ilmu perubatan yang mengkaji sebab-sebab, tanda-tanda dan cara-cara mengubati penyakit) dari Royal College of Physician London dan Royal College of Surgeons England pada tahun 1962.

Dalam tahun yang sama beliau berkhidmat sebagai Pendaftar di Jabatan Patologi di Royal Free Hospital, School of Medicine, London. Dua tahun kemudian (1964), beliau berkhidmat sebagai Pendaftar Kanan di Jabatan yang sama dan diterima menjadi ahli College of Pathologist, London.

Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini tidak terhenti di situ sahaja malah beliau telah menunjukkan keupayaan yang begitu gigih pada tahun 1965 apabila beliau berjaya mendapat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam ‘Clinical Chemistry' dengan tesis beliau yang bertajuk ‘Electrolytes in Isolated Human Leucocytes'. Pada tahun yang sama beliau diterima menjadi ahli Institute of Biology, London dan dua tahun kemudian (1967) College of American Pathologist Amerika Syarikat menerima beliau sebagai Ahli Kehormat Kolej tersebut.

Dengan itu selesailah pengkajian beliau dalam bidang ilmiah untuk muncul sebagai seorang anak Melayu mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidang penyelidikan dan perubatan.

Kecerdasan Profesor Dato' (Dr.) Ungku Omar Ahmad terserlah sejak beliau berada di bangku sekolah lagi. Semasa di Maktab Melayu Kuala Kangsar, beliau pernah menjadi Ketua Murid dan pada tahun 1948, beliau sudah menghadiri Jambori Pengakap-pengakap di Melbourne, Australia. Begitu juga semasa melanjutkan pelajaran beliau ke Universiti Malaya, beliau terus diterima ke tahun kedua. Oleh kerana kejayaan beliau yang cemerlang dalam mata pelajaran ‘Anatomi' (Kajibina tubuh), beliau telah dipilih sebagai ‘Student demonstrator' dalam mata pelajaran ini pada tahun 1954.

Kepintaran dan kecerdasan yang dimiliki oleh Prof. Dato' (Dr) Ungku Omar Ahmad ini terus digunakan semasa beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 1965. Beliau merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan tersebut.

Di bawah pucuk pimpinan beliau yang tidak mengenal penat dan lelah itu Pusat Penyelidikan Perubatan menjadi terkenal dan penting tidak sahaja kepada negara-negara di Asia Tenggara, bahkan menjadi tumpuan negara-negara di seluruh dunia. Ini terbukti apabila segala hasil penyelidikan mengenai kesihatan dan perubatan yang diusahakan oleh beliau disiarkan dan diterbitkan oleh makalah-makalah penyelidikan dan kesihatan di peringkat kebangsaan.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan beliau pernah menggemparkan negara dengan hasil penyelidikan beliau mengenai taraf kesihatan penduduk-penduduk di luar bandar yang telah diabaikan. Kadar kematian di luar bandar yang enam kali ganda lebih tingi dari di bandar, kadar kemiskinan yang berkait rapat dengan penyakit-penyakit malaria, kepialu, untut dan berbagai penyakit lagi telah menimbulkan kesedaran yang mendalam kepada semua pihak. Perjuangan beliau ini bukan sahaja disanjung oleh rakyat jelata bahkan mendapat perhatian di peringkat dunia.

Sebagai seorang intelektual, Profesor Dato' (Dr.) Ungku Omar Ahmad telah menghasilkan lebih dari 40 kertas kerja yang meliputi karya-karya sains dalam bidang pengkhususan beliau, kertas-kertas ceramah mengenai keadaan kesihatan di luar bandar terutama sekali mengenai masalah pembasmian malaria hinggalah kepada tajuk-tajuk semasa ketika itu seperti penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, konsep universiti Islam, peranan belia di negara membangun dan usaha-usaha untuk membentuk istilah perubatan dalam Bahasa Malaysia.

Kesedaran serta perjuangan beliau tidak sahaja diluahkan melalui kertas-kertas kerja atau pidato umum bahkan beliau turut memberi ceramah-ceramah mengenai kesihatan dan sains menerusi Radio Malaysia dan kerana ini beliau juga dikenali sebagai ‘Doktor Radio'.

Di dalam bidang perubatan, beliau bergiat cergas dan memegang jawatan-jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan dengan kesihatan seperti pembasmian malaria, Makmal Perubatan dan Kesihatan, Tabung Darah Kebangsaan serta mengambil bahagian cergas dalam Persatuan Perubatan Alumni, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Parasitologi Malaysia. Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Kebangsaan Khas Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Kebangsaan Penyakit Kusta, Ahli Lembaga Perubatan Rumah Sakit, Ahli Lembaga Jawatankuasa Istilah Kimia dan Perubatan Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli Standards Institute of Malaysia.

Di samping itu beliau adalah ahli rasmi ‘Mahkamah' Universiti Malaya, Pengerusi Majlis Kolej Islam sejak tahun 1967 dan bertanggungjawab di dalam penubuhan Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya serta tidak kurang penting tenaga yang dicurahkan dalam Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak ketinggalan Prof. Dato' (Dr.) Ungku Omar turut bergiat di bidang Bahasa Sastera dan Budaya dan merupakan salah seorang anggota ASAS 50 dan tidak ketinggalan menghadiri perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh angkatan ini semasa kemuncak kegiatan-kegiatan mereka. Banyak daripada rencana-rencana kreatif beliau termuat dalam majalah-majalah Mastika dan Dewan Masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pula Prof. Dato' (Dr.) Ungku Omar telah mewakili Malaysia ke pelbagai persidangan di Australia, Indonesia, Jepun, Russia, Amerika Syarikat, Filipina, Republik Rakyat China dan Singapura terutama dalam bidang-bidang penyelidikan perubatan, Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMES) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di atas sumbangan dan jasa-jasanya telah begitu banyak dalam berbagai bidang, beliau telah dikurniakan Darjah Setia Mahkota oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong pada bulan Jun 1967 dan pada bulan Oktober D.Y.M.M. Sultan Johor pula mengurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati manakala pada tahun 1968 beliau dianugerahkan gelaran Profesor oleh pihak Universiti Indonesia.

Prof. Dato' (Dr.) Ungku Omar Ahmad berkahwin dengan sepupunya Tengku Khatijah Sulaiman pada tahun 1952 dan dikurniakan dengan enam orang anak, lima orang perempuan dan seorang lelaki.

Di saat-saat negara bangsa dan keluarganya masih dahagakan kepimpinan beliau, Profesor Dato' (Dr.) Ungku Omar kembali ke rahmatullah pada 15 Februari 1969 dalam usia 38 tahun. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Moga-moga Allah melimpahi rahmat ke atas rohnya dan meletakkan Allahyarham di kalangan mereka yang dikasihinya.

Pengkisahan Sejarah Sehari Mengenang Prof.Dato' (Dr.) Ungku Omar Ahmad'
10 November 1988
Arkib Negara Malaysia.